Orang rapat Trump cuba tolong Jho Low bebas siasatan 1MDB, kata laporan

Orang rapat Trump cuba tolong Jho Low bebas siasatan 1MDB, kata laporan

Emel yang dilihat WSJ turut mendapati penderma politik kepada kempen Trump, Elliot Broidy memberi panduan kepada Najib Razak untuk menyatakan beberapa perkara ketika lawatan ke White House.

jho-low-bloomberg-1
Low Taek Jho ditawarkan bebas daripada tuduhan melarikan wang 1MDB dengan upah AS$75 juta, menurut emel dipetik Wall Street Journal.
PETALING JAYA:
Sebuah firma guaman dimiliki isteri seorang yang rapat dengan Presiden Donald Trump dikatakan mengadakan siri rundingan dengan Low Taek Jho, di mana ahli perniagaan kontroversi dari Malaysia itu ditawarkan akan bebas daripada siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mengenai 1MDB sekiranya membayar “yuran” AS$75 juta kepada firma tersebut, lapor The Wall Street Journal (WSJ).

Emel di antara firma milik Robin Rosensweig, isteri penderma parti Republikan Elliot Broidy, dengan wakil Jho Low, turut memuatkan cadangan Broidy kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menyatakan beberapa perkara ketika bertemu Trump tahun lalu.

Antara nasihat yang diberikan Broidy ialah Najib perlu menekankan kesediaan Malaysia bekerjasama dengan Washington untuk menentang Korea Utara, menurut WSJ, dalam apa yang disifatkannya usaha untuk mempengaruhi DoJ dan penyiasat AS menggugurkan kes kecurian wang melibatkan 1MDB.

Broidy merupakan naib pengerusi dana bersama Trump dan parti Republikan ketika kempen pemilihan presiden 2016, yang berjaya mengutip AS$108 juta.

Pada 2009, Broidy mengaku bersalah kerana menerima hadiah bernilai AS$1 juta daripada 4 bekas pegawai atasan dana pencen New York, yang melabur AS$250 juta dalam firmanya. Sebagai hukuman, beliau bersetuju memindahkan AS$18 juta kepada pihak berkuasa New York.

Memetik peguam mewakili Broidy dan isterinya, WSJ berkata firma Rosenzweig diarahkan ahli sebuah kumpulan hip hop era 1990-an Fugees, Pras Michel, untuk “memberikan nasihat strategik” kepada Jho Low.

DoJ sebelum ini mendakwa Jho Low dan beberapa kuncunya terlibat melarikan AS$4.5 bilion daripada dana 1MDB antara 2009 dan 2015.

Wang itu kemudian digunakan untuk membeli aset mewah dan menerbitkan filem Hollywood.

Antara aset itu termasuk sebuah kapal layar mewah bernilai RM1 bilion yang awal minggu ini dirampas pihak berkuasa Indonesia di perairan Bali, atas permintaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Pihak berkuasa AS dalam permohonan merampas aset 1MDB di negara itu turut menyenaraikan barang kemas yang dikaitkan kepada isteri Najib. Perdana menteri bagaimanapun menafikan terlibat dalam melarikan wang 1MDB, manakala Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali turut mengumumkan tiada kes untuk mendakwa Najib atas kesalahan berkait 1MDB.

Najib bertemu Trump pada September 2017, dalam perjumpaan di White House yang turut dihadiri Setiausaha Negara AS Rex Tillerson, penasihat keselamatan H.R. McMaster, penasihat kanan presiden Jared Kushner dan pegawai tinggi lain.

Dalam perjumpaan itu, Trump memuji Malaysia dan menyifatkan Najib sekutu strategik AS di rantau Asia. “Beliau tidak lagi berurusan dengan Korea Utara. Ini penting buat kami,” Trump dipetik berkata ketika itu.

Ketika ditanya media AS mengenai siasatan DoJ ke atas 1MDB dan dakwaan ke atas pemimpin Malaysia termasuk “Malaysian Official 1” yang dikaitkan kepada Najib, jurucakap White House mengesahkan perkara itu tidak disentuh langsung oleh Trump.

WSJ bagaimanapun berkata adalah sesuatu yang ganjil bagi menutup sesuatu siasatan DoJ, memandangkan badan itu bebas daripada pentadbiran, walaupun Trump beberapa kali mengkritik DoJ dan Peguam Negara Jeff Sessions di sebalik siasatan melibatkan kuncu-kuncunya.

Menurut emel itu, pembabitan Broidy dalam politik Malaysia seawal Mac 2017, apabila isterinya membuat satu perjanjian antara firma guaman Beverly Hills beliau dengan Jho Low.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.