
Hartanah yang sedang disiasat itu ialah Hotel dan Menara Trump International, merangkumi sebuah hotel mewah dengan 147 suit, 217 unit kediaman mewah dan podium 4 tingkat.
Hartanah bernilai dolar Kanada C$360 juta (RM1.1 bilion) milik TA Global Bhd, yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif TA Global Tian Joo Kim sebelum ini dilaporkan berkata syarikatnya membayar Trump Organization bagi pelesenan dan fi pemasaran untuk menggunakan jenama Trump dan menguruskan hartanah itu.
Joo Kim anak kepada Datuk Tony Tian Thee Kian, pengerusi TA Enterprise yang mengawal beberapa perniagaan lain.
CNN memetik Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai berkata Tony mempunyai “sejarah perniagaan yang turun naik, termasuk pelanggaran undang-undang sekuriti dan kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia”.
Joo Kim juga dikatakan mengetuai syarikat pembangunan hartanah yang berpangkalan di Kanada, Kumpulan Holborn, yang menguruskan bahagian kediaman di Hotel dan Menara Trump International.
Tidak jelas mengapa FBI berminat dengan urus niaga antara Ivanka dan Joo Kim, walaupun CNN berkata ia mungkin berkaitan dengan masa hartanah itu dibuka, selepas Trump menjadi presiden.
Hotel dan Menara Trump International dibuka pada Februari tahun lalu, sebulan selepas pelantikan Trump.
Menurut laporan itu, satu borang pendedahan kewangan oleh Trump Jun lalu mendedahkan Trump Organization memperoleh lebih AS$5 juta royalti dan AS$21,500 fi pengurusan dari hartanah Vancouver itu.
CNN berkata aliran wang asing, sama ada dari pemaju atau pembeli kondo warga asing, boleh mencetuskan penelitian itu.
Menjawab pertanyaan CNN, naib presiden eksekutif dan ketua pegawai undang-undang Alan Garten berkata peranan syarikat itu terhad kepada pelesenan jenama dan menguruskan hotel.
“Oleh yang demikian, syarikat itu tidak terlibat dalam pembiayaan projek atau penjualan unit,” kata Garten.