
Calon perdana menteri itu berkata tanpa dirinya orang Melayu dilihat seakan sukar mempercayai PH.
“Saya sudah dekat 93 tahun…berapa lama saya hendak tahan jadi perdana menteri? Tetapi kalau saya boleh dijadikan umpan orang Melayu untuk sokong PH, saya rela,” katanya di satu majlis kenduri dan doa selamat di Kampung Baru hari ini.
“Saya ingat masih berpengaruh sebab itu saya rela kalau orang Melayu hendak cari saya untuk bersandar pada saya. Saya terpaksa walaupun umur sudah lebih.”
Beliau berkata pengalaman mentadbir negara selama 22 tahun akan digunakan untuk mengurangkan “hutang ditanggung kerajaan” ketika ini, dan memulihkan Kampung Baru sebagai tanah tradisi bangsa Melayu di ibu kota.
“Saya yakin orang Kampung Baru hendakkan pembangunan tetapi sesuai dengan budaya orang Melayu. Faktor ini mesti diambil kira. Saya tidak mahu lihat Kampung Baru jadi seperti Kampung Kerinchi dan Kampung Abdullah Hukum,” katanya, merujuk kepada projek Bangsar South dan KL Eco City.
Bangsar South menampilkan menara-menara pejabat moden, kondominium harga pertengahan dan mewah dan kawasan komersial, sementara KL Eco City merangkumi 3 menara kediaman, 1 menara pangsapuri berservis, 3 menara pejabat korporat, 12 blok pejabat butik dan 1 podium runcit.
Kampung Baru merupakan satu enklaf Melayu di tengah-tengah kotaraya Kuala Lumpur dan menduduki kawasan yang dikatakan bernilai berbilion ringgit.
Dr Mahathir berkata beliau menyedari Barisan Nasional (BN) mempunyai perancangan terhadap Kampung Baru.
“Saya sedar kerajaan hari ini ada rancangan hendak bangunkan Kampung Baru. Mereka tunjukkan kepada saya. Memang banyak rancangan tetapi tidak jadi apa-apa.
“Sebab itu kalau Kampung Baru hendak dibangunkan, ia mesti dibangunkan dengan penduduk, wakil-wakil mereka supaya sesuai dengan kehendak penduduk,” katanya.