Peniaga pasar malam sokong IS dipenjara lebih 3 tahun

Peniaga pasar malam sokong IS dipenjara lebih 3 tahun

Warga Indonesia yang tinggal di Malaysia sejak 2000 didakwa memiliki 34 keping gambar berkaitan militan IS di telefon bimbitnya.

Tonny-Indra-Prayitna-is-tahan
Gambar Youtube.
KUALA LUMPUR:
Seorang peniaga pasar malam warga Indonesia dihukum penjara 3 tahun setengah oleh Mahkamah Tinggi hari ini kerana memiliki 34 keping gambar berkaitan kumpulan militan IS di dalam telefon bimbitnya, tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap Tonny Indra Prayitna selepas dia mengaku bersalah memiliki 34 keping gambar kumpulan militan itu.

Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh ditangkap pada 25 Ogos 2017.

“Kamu sepatutnya tidak menyimpang dengan matlamat asal iaitu mencari rezeki tetapi kamu menyimpan gambar-gambar berunsur pengganas. Mahkamah khuatir sekiranya perkara ini tidak dibendung, kamu akan mempunyai perasaan simpati dan ingin menyertai kumpulan pengganas,” kata hakim Mohd Sofian.

Bapa 4 anak itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah premis di Jalan Cecawi 6/19, Gugusan Tanjung, Petaling Jaya pada 11.45 pagi, 25 Ogos tahun lepas mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan dan peningkatan kes pengganas manakala Tonny, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan kerana dia penanggung tunggal keluarga.

“Saya datang ke Malaysia pada 2000 dan memulakan perniagaan kraftangan di Pulau Pinang sebelum berpindah ke Kuala Lumpur dan berniaga di pasar malam. Saya mohon hukuman ringan kerana saya benar-benar tidak menyangka menyimpan 34 keping gambar pengganas itu satu kesalahan. Isteri dan ibu saya terpaksa bekerja selepas saya ditahan 6 bulan lalu,” katanya dengan nada sebak.

Di mahkamah sama, seorang jurutkenik mengaku tidak bersalah atas 2 pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas IS di dalam pemacu pena pada Mei tahun lepas.

Mohd Fairul Azhar Jaafar, 34, didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS di perkarangan Pejabat Sumber Manusia ICHOR System Malaysia Sdn Bhd, Jalan Anggerik Mokara 31/63, Kota Kemuning, Seksyen 31, Shah Alam, Selangor pada 1.15 petang 25 Mei 2017.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang memperuntuk hukuman penjara seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun atau denda atau boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan untuk lakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ke-2, Mohd Fairul Azhar dituduh dengan pengetahuan memiliki 34 keping gambar berkaitan kumpulan pengganas Daesh di dalam dalam pemacu pena di tempat dan waktu sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama, membawa hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 23 Julai depan untuk perbicaraan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.