Ibu bapa panik, lelaki maut ditembak depan sekolah

Ibu bapa panik, lelaki maut ditembak depan sekolah

Seorang lelaki maut, manakala seorang lagi lelaki cedera, dipercayai terkena tembakan di bahagian belakang badan dalam insiden di perhentian bas berhampiran Sekolah Kebangsaan Sri Serdang.

ditembak-depan-sekolah
Gambar video Facebook
KUALA LUMPUR:
Ibu bapa yang sedang menunggu anak pulang dari sekolah di perhentian bas berhampiran Sekolah Kebangsaan Sri Serdang, Seri Kembangan, petang tadi gempar apabila dikejutkan dengan kejadian tembakan mengakibatkan seorang lelaki maut dan seorang lagi cedera.

Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang itu, seorang daripada 2 lelaki bermotor dikatakan melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa berusia 40-an, mengakibatkan mangsa terbunuh di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan mengesahkan seorang lagi lelaki berusia 30-an yang berada berdekatan tempat kejadian turut cedera, dipercayai terkena tembakan di bahagian belakang badan.

Katanya, kedua-dua mangsa sedang menunggu anak keluar dari sekolah.

“Ketika kejadian, ramai orang awam sedang menunggu anak keluar dari sekolah. Keadaan mangsa yang cedera stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Serdang,” katanya.

Fadzil berkata, identiti mangsa korban sedang dikenal pasti dan ketika ini, Unit Forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Seorang saksi kejadian yang enggan namanya disiarkan berkata, beliau sedang menunggu anaknya dekat pintu pagar sekolah apabila kejadian itu berlaku.

“Semua ibu bapa lari bertempiaran, ia pengalaman ngeri buat kami hari ini.”

Seorang lagi saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 33, berkata ketika kejadian, dia sedang menunggu anak perempuannya keluar dari sekolah, kira-kira 10m dari perhentian bas berkenaan.

Katanya, dia kemudian terdengar bunyi tembakan yang disangkakannya bunyi mercun sebelum melihat ibu bapa yang berada di lokasi kejadian lari bertempiaran.

“Apabila keadaan reda, kami melihat seorang lelaki tertiarap dan terdapat darah di badannya.”

Bagaimanapun, Ahmad berkata, dia tidak nampak siapa yang melepaskan tembakan.

“Ada saksi lain mengatakan ada individu bermotosikal tembak mangsa dan melarikan diri.”

Seorang lagi saksi yang dikenali sebagai Din berkata, dia hanya berada kurang 5m dari lokasi kejadian.

“Hari ini, perhentian bas sesak dengan ibu bapa yang menunggu anak selepas hujan reda, tiba-tiba ada bunyi beberapa letupan kuat di perhentian bas itu, saya ingat mercun.”

Tinjauan Bernama mendapati lokasi kejadian tembak itu hanya 1km dari Balai Polis Serdang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.