
Ia berlaku pada 1950an dan keluarganya tidak pasti apa yang tidak kena dengan badannya, jadi Rauf terus berasa gatal dan terpaksa tahan sakit yang dirasai.

“Hanya Tuhan tahu betapa sakitnya saya masa itu… terutamanya pada waktu malam. Saya tidak dapat tidur kerana sendi kebas. Ia sangat memenatkan.
“Saya menahan sakit hampir 2 tahun sebelum ibu saya akhirnya membawa saya bertemu doktor di klinik,” katanya kepada FMT.
Selepas itu, Rauf mendapat tahu dia menghidap kusta.
Rauf percaya dia berjangkit dengan datuknya. Doktor mencadangkan Rauf mendapatkan rawatan lanjut di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) di Sungai Buloh, tetapi ibu bapanya tidak mampu menghantarnya ke sana kerana situasi kewangan keluarga.
Jadi, Rauf terpaksa hidup dengan penyakit itu dalam diam dan bersekolah seperti kanak-kanak lain. Tetapi jangkitan itu kemudian mula kelihatan di kulitnya dan tangannya menjadi kebas.
Sesetengah ototnya menjadi lumpuh, menyebabkan jari-jarinya bengkok.
Beberapa rakannya bertanya mengapa tangannya berbeza, tetapi Rauf memilih untuk menjauhkan diri daripada mereka.
“Saya hilang keyakinan untuk berkawan dengan orang sekeliling. Saya beritahu ibu, saya mahu ke Sungai Buloh dan saya tidak kisah apa yang berlaku kepada saya di sana,” katanya.
Kerana terdesak, ibu bapa Rauf membawanya ke PKKN Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut. Di sana, keadaan Rauf bertambah baik.
Hari ini, Rauf masih dalam proses pemulihan.
Lelaki berusia 68 tahun itu sudah berkahwin dan mempunyai 5 anak. Beliau bersyukur tiada seorang pun dalam keluarganya dijangkiti penyakit itu.
Rauf dan seorang lagi penghidap kusta, Philip Yong, antara mereka yang berkongsi cerita di pembukaan Galeri Lembah Harapan di Sungai Buloh.

Yong, 66, dijangkiti penyakit itu semasa berumur 3 tahun. Tetapi dia berjaya mendapatkan rawatan awal dan keadaannya pulih dalam 3 hingga 4 tahun.
Walaupun begitu, Yong menyifatkannya sebagai pengalaman sangat mneyakitkan. Yong menjadi lumpuh dan terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak ke mana-mana.
Projek Lembah Harapan ditubuhkan oleh Majlis Penempatan Sungai Buloh pada 2016 menerusi sumbangan orang ramai (crowdfunding).
Lebih 20 pesakit tampil untuk berkongsi pengalaman mereka.
Majlis itu berharap projek itu membolehkan generasi masa depan mengingati penempatan itu yang menyediakan tempat perlindungan kepada ribuan pesakit kusta.
Ketua projek, Tan Ean Nee, berkata idea galeri cerita itu terilham semasa mereka sedang menubuhkan muzium dalam talian Sungai Buloh pada 2013.
“Pada hari pelancaran laman web itu, beberapa penduduk membaw artifak dan berkongsi cerita di sebalik barangan tersebut.
“Apa yang mereka kongsikan sangat menyentuh perasaan. Cerita mereka mengingatkan kembali semua kenangan komuniti Sungai Buloh.”
Tan berkata sememangnya menjadi satu impian untuk menubuhkan galeri cerita untuk memelihara legasi komuniti itu.
“Jika kita tidak mempercepatkan pemeliharaan kisah mereka, saya bimbang sejarah hidup mereka akan terkubur begitu sahaja apabila mereka meninggal dunia.
“Sejak beberapa tahun lalu, kami sudah berusaha keras untuk menemu bual penduduk di sini, mendokumenkan pengalaman hidup mereka, mendigitalkan gambar lama dan dokumen penting mereka, dan mengumpul artifak mereka untuk memelihara sejarah penempatan ini,” katanya pada pelancaran galeri cerita itu di PKKN di Sungai Buloh.
Tan berkata beliau berharap penempatan pesakit kusta itu akan menjadi tapak warisan kebangsaan dan dunia satu hari nanti.
Penubuhan galeri itu langkah pertama untuk mencapai matlamat itu, memperingati semangat pesakit kusta dan sumbangan diberikan kepada Lembah Harapan.
“Pada 2016, kami lancarkan projek ‘crowdfunding’ yang digelar ‘You Are The Hero’ bagi mengumpul dana untuk pembinaan galeri tersebut.
“Pesakit kusta sudah menempuhi pelbagai perkara sejak pengasingan mereka,” kata Tan.
Antara yang turut hadir pelancaran itu pada Ahad lepas adalah Pengarah Hospital Sungai Buloh Datuk Dr Khalid Ibrahim, Pesuruhjaya Warisan Merangkap Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Dr Zainah Ibrahim, Presiden Penempatan Sungai Buloh, Tan Hing dan juga penduduk penempatan itu.
Kusta adalah penyakit kronik disebabkan oleh basilus, Mycobacterium leprae, yang berganda secara perlahan. Penyakit ini banyak memberi kesan ke atas kulit dan saraf periferal.
Ia boleh berjangkit menerusi titisan dari hidung dan mulut apabila bersentuhan rapat dengan mereka yang tidak dirawat. Bagaimanapun, penyakit ini boleh sembuh dengan rawatan sebetulnya.
Pada 2016, sebanyak 206 kes baharu dilaporkan yang kebanyakannya berlaku dalam kalangan pendatang.