Husni sedia pertahan Tambun jika dicalonkan BN

Husni sedia pertahan Tambun jika dicalonkan BN

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, pengalaman selaku bekas menteri dan ketua Umno bahagian Tambun selama 23 tahun boleh dijadikan platform untuk terus mengekalkan kemenangan BN.

Ahmad-Husni
Gambar Facebook
IPOH:
Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bersedia bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sekiranya terus diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, pengalaman selaku bekas menteri Kabinet dan ketua Umno bahagian Tambun selama 23 tahun boleh dijadikan sebagai platform terus mengekalkan kemenangan Barisan Nasional (BN), khususnya bagi kerusi Parlimen berkenaan.

“Saya tiada masalah. Pada saya, matlamatnya adalah kemenangan. Bila presiden memutuskan Husni, awak kena bertanding untuk kemenangan, maka kita (saya) bertandinglah.

“Kalau saya ditakdirkan jadi ahli Parlimen lagi, maknanya usaha yang kita jalankan melalui tagline ‘MyBeautiful Tambun’ itu berjaya dan dibuktikan dengan pembangunan infrastruktur sangat luar biasa jika dibandingkan 30 tahun dahulu,” katanya selepas menghadiri sambutan Tahun Baru Cina anjuran Pejabat Parlimen Tambun yang turut disertai lebih 2,000 orang hari ini.

Pada PRU13 lalu, Husni memenangi kerusi Parlimen Tambun menewaskan calon PKR, Siti Aishah Shaik Ismail dengan majoriti 9,325 undi.

Mengulas sokongan pimpinan Umno di peringkat bahagian, katanya, perkara itu perlu dipandang secara menyeluruh, selain rakyat menjadi petunjuk utama dalam menjadi penentu kemenangan BN di Parlimen Tambun.

“Saya jadi ketua bahagian 23 tahun, takkan tiba-tiba orang nak boikot saya. Mereka sayang saya dan dalam konteks Tambun, kita meraikan semua kaum yang tujuannya supaya rakyat sayang pada BN, sokong BN dan ia terbukti.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.