Azmin jalani fisioterapi akibat cedera tulang belakang

Azmin jalani fisioterapi akibat cedera tulang belakang

Yin Shao Loong berkata, Azmin mengalami kecederaan tulang belakang 'annualar tear of spinal disc' ketika membersihkan rumahnya dan mengalihkan perabot untuk menyambut kehadiran cucu sulungnya.

azmin-2
PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terpaksa berehat daripada tugasan rasmi untuk menjalani rawatan fisioterapi, selepas cedera di tulang belakang minggu lalu.

Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong, berkata Azmin sedang mendapatkan rawatan fisioterapi selepas mengalami kecederaan tulang belakang “annualar tear of spinal disc”.

“Beliau (Azmin) mengalami kecederaan itu minggu lalu, ketika teruja membersihkan rumahnya dan mengalihkan perabot untuk menyambut kehadiran cucu sulungnya.

“Azmin sedang menjalani rawatan terapi tulang belakang (fisioterapi) dan perlu berehat secukupnya, sebelum boleh memulakan tugasnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yin meminta orang ramai mendoakan Azmin cepat sembuh untuk kembali berkhidmat kepada rakyat.

Pada 14 Februari lalu, Azmin berkongsi berita kelahiran cucu pertamanya di Twitter dan mengucapkan tahniah kepada anak perempuannya, Farah Shazliyana dan menantu, Muhammad Syaqib Zainudin atas kelahiran bayi itu.

Farah, 27, dan Syaqib berkahwin pada Disember 2015.

Farah ialah anak sulung Azmin dan mempunyai 5 adik iaitu Mohamed Ameer Shazrin, 25, Farah Amira, 24, Farah Afifah, 22, Mohamed Basheer Noor Al-Haq, 17, dan Mohamed Yusuf Al-Sadiq, 16.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.