
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid dipetik The Star berkata, polis tiada petunjuk lokasi video itu dirakamkan.
Katanya, selepas mengkaji klip video itu, polis mengesahkan ia bukan dirakamkan di tempat Adelina didakwa didera.
“Kami juga mengesahkan wanita dalam video itu bukan tertuduh dalam kes itu,” katanya dipetik akhbar itu hari ini.
Beliau berkata, tiada laporan polis dibuat berhubung video itu setakat ini.
Video selama 2 minit 13 saat itu menunjukkan seorang wanita yang sedang mencangkung, ditendang dan dipijak seorang wanita lebih tua di tempat yang kelihatan seperti bahagian belakang sempit sebuah rumah.
Pada satu ketika, seorang lagi wanita muncul membuang air daripada baldi ke dalam longkang bersebelahan mereka.
Wanita lebih tua itu kemudiannya mengambil sebatang kayu dan memukul mangsa beberapa kali.
Pada 21 Februari lalu, Ambika MA Shan, 60, didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas dakwaan membunuh Adelina, 21, di rumahnya pada 10 Februari lalu.
Tiada rayuan dirakamkan dan tiada ikat jamin ditawarkan. Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu yang membawa hukuman mati.
Anak perempuannya, Jayavartiny Rajamanickam, 36, pula didakwa mengambil Adelina, yang tidak memiliki permit sah, bekerja antara Mac 2017 dan 10 Februari lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman penjara 12 bulan atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.
Adelina yang berasal dari Nusa Tenggara Timur, dipercayai bekerja di rumah tertuduh di Taman Kota Permai sejak 3 tahun lalu.
Beliau meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam pada 11 Februari lalu, sehari selepas dibawa ke sana oleh pihak berkuasa yang dimaklumkan seorang jiran mangsa.
Jiran itu dilaporkan ternampak kecederaan pada tangan dan kaki adelina dan beliau tidur bersebelahan seekor anjing Rottweiler selama 2 bulan.