
Dalam kejadian kira-kira 1.50 pagi itu, mereka yang sedang tidur sempat menyelamatkan diri melalui tingkap di aras 2 rumah itu, sebelum bomba tiba di lokasi kejadian.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri, berkata ketika cuba menyelamatkan diri, seorang daripada ahli keluarga itu cedera di belakang badan.
“Mangsa yang cedera dikenali sebagai Ng Min Jin, 13, dan dihantar ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Lima lagi yang terselamat adalah ibu bapa remaja itu, Ng Peng Cheoi, 49, dan Teng Chui Ai, 43, bersama 3 lagi anak mereka, iaitu Ng Min Jun, 19, Ng Min Yun, 16, dan Ng Min Xuan, 14.
Alimaddia berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang serta Pandan bergegas ke lokasi kejadian, sebaik sahaja menerima panggilan pada 1.54 pagi dan kebakaran dapat dikawal kira-kira 2.13 pagi.
Menurutnya, kebakaran berkenaan memusnahkan hampir 80% tingkat bawah rumah teres 2 tingkat itu.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata siasatan awal mendapati pintu rumah mangsa dikunci dari luar dengan mangga, selain kenderaan jenis Nissan Frontier yang diletakkan di luar rumah diconteng cat merah.
Katanya, polis masih menyiasat motif kejadian dan memburu individu terlibat dengan kebakaran berkenaan kerana melakukan khianat menggunakan api.
Sementara itu, Peng Cheoi lega kerana semua ahli keluarganya terselamat dalam kejadian itu.
Katanya, beliau tersedar daripada tidur selepas terhidu bau asap dari ruang tamu di tingkat bawah rumahnya, sebelum mengejutkan ahli keluarga lain.
“Nasib baik saya tidak keluar rumah pada malam itu, kalau keluar tidak tahu apa yang terjadi dengan mereka (keluarga).
“Saya tidak pernah menerima sebarang ugutan sebelum ini…anak saya yang cedera kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya ketika dihubungi Bernama.