6 pemandu bas ekspres positif dadah

6 pemandu bas ekspres positif dadah

Mereka antara 2,325 pemandu bas yang diperiksa di 25 terinal bas utama dalam operasi bersepadu sempena Tahun Baru Cina.

bas
SEREMBAN: Seramai 6 pemandu bas ekspres dikesan positif dadah dalam operasi bersepadu sempena Tahun Baru Cina sejak 9 Februari hingga semalam.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Dr Abdul Halim Mohd Hussin berkata mereka antara 2,325 pemandu bas yang diperiksa di 25 terminal bas utama di seluruh negara.

“Setakat semalam hanya 6 pemandu bas ekspres yang dikesan positif dadah dan operasi ini akan tamat Ahad ini. Enam pemandu bas ini berumur antara 25 dan 40 tahun serta didapati mengambil dadah sintetik.

“Ini menunjukkan masih terdapat lagi kalangan pemandu pengangkutan awam yang menyalahgunakan dadah, namun pelaksanaan operasi berterusan akan dapat mengawal ia daripada berleluasa yang seterusnya boleh membahayakan nyawa orang awam,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan program Perangi Dadah Habis-Habisan 3.0 anjuran AADK Negeri Sembilan hari ini. Turut hadir Pengarah AADK Nazira Sadiron.

Dalam masa sama, Abdul Halim berkata pada 4 kali Op Khas Motosikal sempena Tahun Baru Cina pula (14, 15, 18 dan 19 Februari), seramai 431 daripada 2,281 penunggang motosikal yang diperiksa positif dadah.

Katanya operasi seperti ini sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan permasalahan penagihan di sesuatu kawasan terutamanya kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi.

Beliau menyarankan syarikat bas untuk sentiasa memastikan pemandu mereka bebas daripada dadah dengan melaksanakan ujian air kencing secara berkala.

Selain memberi kesedaran kepada pemandu bas berhubung bahaya penyalahgunaan dadah, program hari ini juga bertujuan menggerakkan usaha kerjasama pengusaha bas dalam mengenal pasti permasalahan dadah melibatkan pemandu bas.

“Intervensi awal ini adalah bagi mengelak berlakunya kemalangan jalan raya yang boleh membahayakan nyawa orang ramai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.