Kes Jong Nam: Tertuduh lakukan ‘prank’ guna minyak bayi

Kes Jong Nam: Tertuduh lakukan ‘prank’ guna minyak bayi

Babak itu dilakukan pada 3, 7, dan 11 Februari 2017, sebelum serangan bunuh terhadap Jong Nam berlaku di klia2 pada 13 Februari 2017.

siti-aisyah
Gambar reuters
SHAH ALAM:
Siti Aisyah yang dituduh membunuh Jong Nam, abang pemimpin Korea Utara, menggunakan minyak bayi ketika melakonkan babak ”usikan” (prank) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) beberapa hari sebelum Jong Nam mati disapu racun VX di mukanya.

Babak ”usikan” itu dilakukan wanita warga Indonesia itu pada 3, 7, dan 11 Februari 2017 iaitu sebelum serangan bunuh terhadap Jong Nam berlaku di klia2 pada 13 Februari 2017 dan wanita itu dibayar AS$550 (RM2,156) untuk lakonan itu oleh seorang lelaki dikenali sebagai Chang.

Chang atau Hong Song Sac merupakan seorang daripada 4 suspek masih bebas dalam kes bunuh berprofil tinggi itu.

Chang diperkenalkan oleh seorang lelaki bernama James atau Ri Ji U kepada Siti Aisyah di Lapangan Terbang Phnom Penh pada 21 Januari 2017.

Perkara itu dicadangkan peguam Gooi Soon Seng mewakili Siti Aisyah, 26, semasa menyoal balas Pegawai Penyiasat, ASP Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz, 40, pada hari ke-30 perbicaraan kes pembunuhan Jong Nam di Mahkamah Tinggi dan saksi ke-9 itu bersetuju dengan kesemua cadangan Gooi.

Siti Aisyah dan wanita Vietnam, Doan Thi Huong, 29, didakwa membunuh Jong Nam bersama-sama 4 lagi individu masih bebas di Balai Berlepas, klia2, Sepang pada 13 Februari 2017.

Pada hari sama melakukan ”prank” di KLIA pada 7 Februari, Siti Aisyah memuat naik posting dalam Facebooknya berbunyi “last day ‘shooting’ mudah-mudahan dikasi kepercayaan lagi, diperpanjang lagi kontraknya, walaupun badan lelah tetap semangat”.

Posting itu dikemukakan Gooi kepada saksi yang kemudian menjawab “saya bersetuju” (berdasarkan posting itu).

Selain ”prank” menggunakan minyak bayi, Siti Aisyah dalam rakaman percakapannya turut menyatakan dia diminta James menyapu losyen ke muka mangsa dari arah belakang dan segera meninggalkan lokasi dan dilakonkan di klia2.

Terdahulu, Wan Azirul Nizam tidak bersetuju dengan cadangan Gooi bahawa Chang meminta Siti Aisyah ke Macau, China pada 8 Februari 2017 bagi tujuan “prank” dan diberikan RM4,000 untuk pembelian tiket penerbangan.

Saksi itu, bagaimanapun, menjawab ”tidak pasti” dengan cadangan peguam itu bahawa kunjungan ke Macau dibatalkan.

Mengenai hubungan antara Siti Aisyah dengan Doan, saksi itu bersetuju dengan cadangan Gooi, kedua-dua wanita itu langsung tidak tahu atau kenal sesama mereka dan tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV ) menunjukkan kedua-dua tertuduh bercakap pada bila-bila masa pada hari kejadian “serangan bunuh” berlaku.

Kepada soalan Gooi, adakah dalam siasatan kes itu, terdapat profil DNA tertuduh Siti Aisyah atas pakaian atau badan Kim Chol, saksi itu menjawab “tidak ada”.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung 27 Februari ini

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.