#UndiRosak: Bergaduh di simpang politik perkara biasa, kata Adam Adli

#UndiRosak: Bergaduh di simpang politik perkara biasa, kata Adam Adli

Bekas aktivis pelajar itu mengingatkan Malaysia sekarang berada di persimpangan politik yang akan menentukan masa depan negara.

Adam-Adli
Gambar Twitter
KUALA LUMPUR:
Bekas aktivis pelajar Adam Adli berkata kempen seperti #UndiRosak perkara biasa apabila masyarakat berada di persimpangan politik seperti pilihan raya umum ke-14.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kempen #UndiRosak menyebabkan golongan muda berpecah terutama siswa.

“Saya tak akan cakap golongan muda terpecah dua atau terpecah tiga. Kita sedang dalam keadaan persimpangan yang mana dalam nak mencapai suatu yang besar halangan pun akan besar.

“Bergaduh sebelum nak capai kemenangan saya dah tengok banyak kali,” katanya ketika ditemui FMT di satu acara di Bangsar malam tadi.

Adam mengingatkan perbezaan pendapat seperti #UndiRosak adalah eskpresi penggerak dan penyokong kempen itu yang juga sebahagian politik negara.

Namun begitu pengaruh kempen #UndiRosak ke atas golongan muda masih belum dapat dipastikan, katanya.

“Kita pun tak mampu ukur sejauh mana keterlibatan golongan muda ini dengan politik arus perdana seperti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) atau politik alternatif seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) atau pun politik yang bakul sampahkan semua seperti #UndiRosak,” katanya.

Penganalisis dilaporkan berkata 42% daripada 14,622,640 pengundi berdaftar untuk PRU14 berusia antara 21 hingga 39 tahun, termasuk 20% yang bakal mengundi kali pertama.

Kempen #UndiRosak timbul pada 7 Januari lalu selepas PH menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri untuk PRU14.

Fokus kempen ialah mengajak golongan muda merosakkan undi sebagai tanda protes kepada PH dan BN kerana gagal membuat tawaran yang lebih baik kepada para pengundi.

Walaupun individu berhak membuat pilihan masing-masing, Adam berpandangan golongan muda terutama siswa harus ambil tahu arah tujuan parti dan gerakan politik yang disertai mereka.

“Kalau yang membawa politik ‘establishment’ ke mana kamu nak bawa penyokong kamu? Yang bawa politik ‘anti-establishment’, bawa politik undi rosak atau bawa politik undi alternatif ke mana kamu nak bawa orang yang menyokong kamu? Itu lebih penting, bukan hanya melihat kepada blok semata-mata,” katanya.

Dalam pada itu, Adam berpandangan #UndiRosak dari sudut pandang strategi politik tidak akan memberi apa-apa kebaikan.

“Tapi dari segi lapangan politik yang lebih luas, #UndiRosak satu yang unik kalau sebagai tanda protes. Untuk sekian lama dalam sejarah pilihan raya moden jarang-jarang kita dapat dengar kempen digerakkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.