Suami isteri dipenjara, didenda guna 19 kanak-kanak mengemis

Suami isteri dipenjara, didenda guna 19 kanak-kanak mengemis

Suami isteri itu didakwa dengan niat bersama menyebabkan 19 kanak-kanak dan remaja berumur 11 hingga 17 tahun meminta sedekah dengan menjual ubat herba gel serta kalendar.

Gambar Blogspot
Gambar Blogspot
IPOH:
Sepasang suami isteri masing-masing dijatuhi hukuman penjara 15 bulan dan denda RM28,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap 28 pertuduhan menggunakan 19 kanak-kanak dan remaja bagi tujuan mengemis di beberapa lokasi sejak 2016.

Muslim Ab Karim, 67, dan Zaleha Mohamad, 55, yang ditangkap pada 7 Mei 2017 berdepan hukuman penjara sebulan bagi setiap pertuduhan (berjumlah 28 bulan penjara) jika masing-masing gagal membayar denda itu.

Hakim Murtazadi Amran turut menjatuhkan hukuman khidmat masyarakat selama 100 jam kepada pasangan suami isteri itu.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, hukuman terhadap kedua-dua tertuduh itu bertujuan memberi gambaran kepada pesalah lain, mahkamah tidak teragak-agak menjatuhkan hukuman lebih berat.

“Walaupun saya percaya mungkin ada tujuan baik dalam melaksanakan tugasan, tetapi apa yang dilakukan ini tidak menghalalkan cara dan undang-undang sedia ada perlulah dipatuhi.

“Hukuman ini dijatuhkan bukan sahaja untuk memberi pengajaran kepada tertuduh, tetapi boleh diuar-uarkan kepada orang di luar agar tidak melakukan perkara sama.”

Hakim berkata, pindaan undang-undang membabitkan kanak-kanak menunjukkan betapa seriusnya kesalahan itu dan ia bertujuan melindungi kanak-kanak daripada dieksploitasi pihak yang mengambil kesempatan.

Mengikut pertuduhan, Muslim dan Zaleha dengan niat bersama menyebabkan 19 kanak-kanak dan remaja, iaitu 7 lelaki dan 12 perempuan berumur 11 hingga 17 tahun untuk menerima sedekah dengan menawarkan jualan ubat herba gel dan kalendar.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sekitar kawasan Persiaran Greentown 6, Greentown Business Centre, di sini, pada 8 malam 7 Oktober 2016 dan di sekitar kawasan Bank CIMB Taiping, Jalan Panggung Wayang serta Maybank, Jalan Medan Saujana 1, Kamunting, Taiping, pada 1.45 pagi 8 Oktober 2016.

Kedua-dua tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan itu depan CIMB Bank Bandar Raub Perdana, Raub, Pahang pada 8.30 malam dan Kemaman Kopitiam di Kuantan, Pahang, pada 11 malam 9 November 2016 serta di sekitar kawasan Bank Islam di Jalan Mahmood, Kota Bharu pada 11.35 hingga 12.45 malam 13 dan 14 Mac 2017.

Ketika itu, Muslim yang juga bekas guru merupakan pengerusi Pusat Latihan Amal Bestari yang berpusat di Yan, Kedah manakala Zaleha merupakan bendahari pusat tersebut.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 32(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara sehingga 5 tahun atau kedua-duanya serta menjalani khidmat masyarakat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas, Jaizah Jaafar Sidek dan Nadia Zulkefli manakala tertuduh diwakili peguam, Zambri Idrus.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.