
Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Azmi Badul berkata sekatan itu dibuat atas kesedaran sendiri demi memperjuangkan hak mereka.
“Mereka yang membuat laporan polis itu ialah orang yang menyokong kerajaan negeri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA)(Pos Tuel).
“Mereka tuduh kami dihasut, sebenarnya kami tidak dihasut orang luar, kami buat sekatan atas kesedaran kami sendiri untuk menuntut hak kami kerana kami sekarang makin terancam.
“Mereka juga kata tindakan kami memalukan kaum Orang Asli, kami tidak sedikitpun rasa malu sebab kamu mahu menuntut hak kami, sebab banyak hak dan hasil pendapatan kami musnah sejak aktiviti tersebut dijalankan,” katanya kepada FMT hari ini.
Beliau mengulas tindakan 50 penduduk Orang Asli suku Temiar dari 6 pos penempatan di Gua Musang yang membuat laporan polis semalam bagi membantah sekatan di laluan ke kawasan pembalakan di Pos Simpor.
Mereka yang datang dari Pos Brooke, Pos Tuel, Pos Tohoi, Pos Bihai, Pos Pasik dan Pos Kuala Wok mahu pihak berkuasa mengambil tindakan merobohkan sekatan dibina segelintir penduduk dipercayai atas hasutan pihak tertentu dari luar Kelantan.
Pengerusi JKKKOA Pos Tuel, Jamly Ahan, 51, yang mewakili kaumnya menyifatkan tindakan mendirikan halangan itu memalukan kaumnya sendiri.
Selain aktiviti pembalakan, kumpulan itu turut menghalang projek penanaman pokok durian Musang King oleh kerajaan Kelantan.
Azmi berkata, kegiatan pembalakan dan pembukaan ladang di pedalaman Gua Musang merosakkan alam sekitar serta menceroboh tanah nenek moyang mereka.
Beliau berkata, pihaknya akan terus membuat sekatan sehingga kerajaan negeri mengiktiraf hak dan tanah adat Orang Asli.
“Kami akan terus membuat ini sampai kerajaan negeri menjawab dan mengiktiraf hak-hak dan kawasan kami.
“Pihak berkuasa ada datang, tapi mereka tidak melakukan provokasi dan merobohkan sekatan, cuma sekadar berbincang dengan orang kampung.”
Azmi turut mendakwa lebih 800 Orang Asli terbabit dalam melakukan sekatan di 4 kawasan, iaitu Pos Chawas, Sungai Kaleg, kampung Kuala Wok dan Pos Pasik.
Sabtu lalu, seorang pemimpin Jaringan Kampung Orang Asli di Kelantan, Mustafa Along dilaporkan berkata seramai 800 Orang Asli mendirikan sekatan di Gua Musang bagi menghalang lori keluar masuk di kawasan itu dan membantah aktiviti pembalakan serta perlombongan yang meluas.
“Kami bergantung hidup pada hutan untuk kehidupan kami. Tetapi kehidupan kami terjejas oleh kerana pembalakan meluas oleh syarikat-syarikat swasta.
“Kami sangat bergantung pada hutan untuk upacara kami tetapi kerana pembalakan meluas, kawasan hutan semakin mengecil,” katanya kepada FMT yang berikrar akan meneruskan sekatan itu sehingga kerajaan negeri pimpinan PAS campur tangan.
Beliau berkata, ada aktiviti pembalakan dan penanaman getah secara meluas di Chawas, penanaman pokok durian Musang King serta pembalakan dijalankan di Tohoi, manakala syarikat swasta menjalankan pembalakan, penanaman kelapa sawit dan perlombongan emas di Kuala Wok.
50 Orang Asli Gua Musang mahu sekatan laluan pembalakan diroboh