
Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan, Wiranto dipetik portal berita Indonesia, Kompas.com berkata, tidak perlu membuat persiapan kawalan keselamatan mahupun sambutan kepulangan untuk Rizieq.
Beliau juga meminta media tidak melaporkan mengenai perkara itu kerana polis Indonesia sudah berhubung dengan pihak Rizieq.
“Persiapan atau usaha menyambut kepulangan atau mengadakan pertemuan khusus, saya rasa tidak perlu kerana orangnya tidak ada,” katanya dipetik portal berita itu.
Semalam, jurucakap FPI, Eggi Sudjana dilaporkan berkata 26 pertubuhan masyarakat akan digerakkan, termasuk di Jawa Barat dan Makassar untuk menyambut kepulangan Rizieq.
Kepulangannya berdasarkan pendedahan gambar tiket penerbangan atas nama Mohammad Rizieq Shihab yang dijadualkan berlepas dari Jeddah, hari ini.
Mei tahun lalu, Rizieq yang menganjurkan protes besar-besaran membantah bekas gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atas alasan beliau menghina Islam, dilaporkan terlibat dalam perbualan dan gambar lucah melalui aplikasi WhatsApp bersama seorang wanita bernama Firza Husein.
Selepas gambar dan paparan skrin perbualan mereka tersebar di media sosial tahun lalu, Firza disoal siasat polis selama beberapa jam, tetapi Rizieq melarikan diri ke Arab Saudi, setelah berada di Malaysia untuk seketika.
Pihak berkuasa Indonesia juga mengeluarkan notis merah kepada Interpol bagi mendapatkan bantuan polis antarabangsa mengesan kedudukan Rizieq.
Penyokong tokoh Islam Indonesia terpalit skandal seks mahu anjur sambutan kepulangan