Tolak soalan 1MDB: Mahkamah benarkan Pandikar batal saman

Tolak soalan 1MDB: Mahkamah benarkan Pandikar batal saman

Hakim tidak memberi alasan kenapa mahkamah membenarkan permohonan Pandikar Amin membatalkan permohonan semakan kehakiman Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian.

Surendran_law11
Surendran (dua dari kanan)menjelaskan keputusan mahkamah kepada Hee Loy Shan (dua dari kiri). Turut hadir ialah Ahli Parlimen Tumpat, Kamarudin Jaffar (kanan).
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia membatalkan saman pemula difailkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian kerana menolak soalan berkaitan 1MDB.

Peguam N Surendran berkata, Hakim Datuk Kamaludin Md Said tidak memberi sebarang alasan mahkamah membenarkan permohonan Pandikar untuk membatalkan permohonan semakan kehakiman itu.

“Kami kecewa dengan keputusan itu kerana ia melibatkan isu kepentingan awam,” kata Surendran kepada wartawan mengenai keputusan dibuat dalam dalam kamar hakim.

Surendran yang juga ahli Parlimen Padang Serai, berkata rayuan akan difailkan di Mahkamah Rayuan.

Beliau mempersoalkan ke mana lagi ahli Parlimen boleh bertanya soalan dan mendapatkan jawapan, jika bukan daripada badan perundangan.

“Penolakan menyalahi undang-undang oleh speaker untuk menjawab soalan berkaitan 1MDB tidak berperlembagaan,” katanya.

Hee mengheret Pandikar dan Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah ke mahkamah tahun lepas, untuk memohon pengisytiharan supaya keputusan Pandikar menolak soalannya mengenai 1MDB pada 21 Julai 2017 adalah batal dan tidak sah.

Hee meminta kebenaran untuk bertanya jika kerajaan ada membuat sebarang bantahan terhadap saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) berkaitan isu 1MDB.

Hee juga ingin tahu di mana ahli perniagaan, Low Taek Jho (Jho Low) berada serta statusnya sebagai warganegara Malaysia kerana beliau didakwa mendapat kerakyatan di satu atau lebih banyak negara lain.

Pandikar kemudian memohon membatalkan saman pemula Hee atas alasan ia melanggar keistimewaan Parlimen.

Surendran dalam penghujahannya bulan lalu, berkata Pandikar melanggar kebebasan bersuara di Parlimen apabila menolak soalan berkaitan 1MDB.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili Pandikar, berhujah mahkamah tidak boleh mempersoalkan sebarang prosiding di Dewan Rakyat.

“Sebarang keputusan dibuat speaker adalah bahagian penting dalam prosiding di Dewan Rakyat.

“Dua keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini mengesahkan prinsip undang-undang dalam keistimewaan Parlimen dan ketidakadilan terhadap prosidingnya,” kata Shamsul.

Sementara itu, Kamaludin menangguhkan penyampaian penghakimannya sama ada membenarkan permohonan Pandikar menolak saman bekas ahli Parlimen, Tawfik Ismail yang mahu menghentikan pembentangan rang undang-undang (RUU) meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 untuk meningkatkan kuasanya.

Peguam, Rosli Dahlan berkata hakim memerlukan lebih banyak masa untuk mengkaji penghujahan dalam kes Tawfik yang berbeza dengan Hee.

Anak Tun Dr Ismail Abdul Rahman, timbalan perdana menteri dari 1970 hingga 1973 itu memfailkan permohonannya di mahkamah pada Mac, dengan menamakan Pandikar dan Roosme sebagai defendan.

Beliau mendakwa RUU persendirian yang dicadangkan Ahli Parlimen Marang dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tidak mematuhi keperluan Perintah Tetap Dewan Rakyat.

Hadi membentangkan usul itu pada 6 April tahun lepas untuk memperkenalkan RUU persendiriannya, tetapi ia tidak dibahaskan.

Rosli dalam penghujahan bulan lalu berkata, Pandikar tidak menafikan usul dibentangkan tanpa persetujuan Majlis Raja-raja Melayu kerana ia menyentuh agama Islam.

Pada Ogos, Pandikar dan Roosme meminta mahkamah menolak saman itu kerana melanggar keistimewaan Parlimen di bawah Perkara 62 dan 63 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 62 (1) menyatakan berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan dan undang-undang persekutuan, Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan mengawal selia prosedur sendiri.

Perkara 63 menyatakan kesahihan sebarang prosiding sama ada di Dewan Rakyat, Dewan Negara atau mana-mana jawatankuasa Parlimen, tidak boleh dipersoalkan dalam mahkamah.

Permohonan batal saman setiausaha dan speaker Dewan Rakyat ditetap 19 Feb

Tolak soalan 1MDB, wakil rakyat PKR heret Pandikar ke mahkamah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.