Tengku Abdullah: Jangan berpolitik di masjid

Tengku Abdullah: Jangan berpolitik di masjid

Kata baginda, masjid untuk beribadat dan bukan mengumpat, mencela atau mengata.

tengku
ROMPIN:
Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini menasihati semua pentadbir dan ahli masjid tidak bermain politik bagi menjaga kesucian dan kemuliaan tempat ibadah.

Baginda berkata, tanggungjawab memelihara kesucian masjid perlu dilaksanakan bersama oleh penduduk yang turut menggunakan masjid berkenaan dan bukan diletakkan di bahu mereka yang dilantik sebagai pentadbir semata-mata.

“Perjalanan masjid harus diatur dengan baik dan bagi masjid baharu, pilih ahli pentadbir tepat… jangan pilih sekadar hendak menggunakan masjid sebagai platform atau batu loncatan untuk karier masing-masing.

“Saya tidak mahu ada berpuak-puak atau ada sifat tidak percaya dalam diri. Kalau ke masjid datang untuk beribadat dan bukan mengumpat, mencela atau mengata… jika hendak juga, elok keluar dan pergi ke bawah pokok atau ke mana-mana asalkan bukan di masjid,” tegas baginda.

Tengku Abdullah berkata demikian selepas merasmikan majlis pecah tanah masjid baharu Kampung Sungai Puteri di sini, turut dihadiri Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Ahli Parlimen Rompin Datuk Seri Hasan Arifin.

Masjid baharu yang dapat memuatkan 2,000 jemaah pada satu-satu masa itu dibina dengan kos RM7 juta, melibatkan 2 fasa pembinaan yang dijangka siap September 2019.

Tengku Abdullah berkata masyarakat juga perlu memainkan peranan melapor polis atau majlis agama jika berlaku kegiatan politik di masjid.

“Saya mahu masjid benar-benar suci… tiada perasaan berbelah, rasa berbeza atau orang ini topinya (politik) biru, kuning atau hijau. Masuk masjid perlu rasa tenang dan kecualikan daripada masalah politik,” kata baginda.

Tengku Abdullah juga menzahirkan rasa syukur dengan kejayaan pembangunan Islam di Pahang, yang disifatkan baginda sebagai hasil kerjasama semua pihak di negeri ini.

Katanya, kejayaan itu juga membolehkan rakyat negeri ini menikmati kemudahan baik seperti pembinaan masjid cantik, sempurna dan selesa yang diharapkan menjadi pemangkin semangat untuk mereka sama-sama mengimarahkannya.

“Kejayaan ini bukan terletak pada sultan atau mufti semata-mata tetapi juga sokongan rakyat yang sentiasa patuh dan mengikut pandangan serta arahan pihak istana.

“Saya bersyukur boleh merasai pengurusan hal berkaitan Islam di Pahang begitu terurus,” kata baginda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.