
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin menyokong cadangan itu jika beg plastik mesra alam menggantikan beg plastik biasa.
“Saya tidak kata saya sokong cadangan mereka, tetapi dari perspektif perniagaan, saya rasa adalah bijak tidak mengenakan bayaran untuk beg plastik.
“Pada masa sama, kita perlu mendidik pembeli mengurangkan penggunaan plastik.
“Pembeli biasanya menggunakan semula beg plastik ini sebagai beg sampah di rumah. Jika mereka tidak mendapat beg ini, mereka perlu membelinya juga.
“Saya menyokong gesaan BN Selangor ini, tetapi hanya jika mereka memutuskan untuk menggunakan beg mesra alam,” katanya ketika dihubungi FMT.
Semalam, Ketua Penerangan BN Selangor, Datuk Satim Diman, berkata caj 20 sen untuk beg plastik akan dihapuskan jika BN menang di Selangor pada PRU14.
Banyak organisasi dan parti politik yang tidak sependapat dengannya berkata, kemudahan untuk pembeli tidak patut memudaratkan alam sekitar.
Ameer mengakui penggunaan beg plastik berkurangan sejak kerajaan Selangor mula mengenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik mulai 1 Januari 2017.
“Kebanyakan pengguna membawa beg sendiri sekarang, tetapi kadangkala pembeli yang datang tanpa perancangan, tidak bawa beg mereka. Kadangkala mereka mengadu mengenai caj 20 sen.”
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata cadangan BN Selangor itu jelas menunjukkan mereka tidak memahami isu alam sekitar berkaitan penggunaan plastik.
“Kajian menunjukkan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun lagi, akan ada lebih banyak plastik di dalam sungai dan laut berbanding populasi ikan.
“Mereka nampaknya tidak tahu mengenainya. Daripada menyokong inisiatif itu, mereka sebenarnya mahu memudahkan orang ramai menggunakan plastik.”
Pencinta alam sekitar, Andrew Sebastian berkata, dasar sekarang tidak cukup baik.
“Masih ada terlalu banyak penggunaan beg plastik.
“Ini bukan masalah negeri tertentu, tetapi masalah seluruh negara dan negara membangun,” katanya kepada FMT.
Ketua pegawai eksekutif Persatuan Eko Pelancongan dan Pemuliharaan Malaysia itu berkata, jumlah perniagaan yang menyertai usaha menghalang penggunaan beg plastik itu tidak mencukupi.
“Hanya beberapa pemimpin perniagaan dan jenama menyertai skim ini, iaitu Bodyshop (Semenanjung Malaysia) dan Aeon Co (M) Bhd (Jusco).
“Ketika ini, hanya ada penalti menggunakan plastik, tetapi tiada larangan sepenuhnya.”
Bekas presiden Persatuan Alam Sekitar Malaysia itu percaya penggunaan beg plastik masih menjadi masalah besar, khasnya penggunaan beg plastik pengguna jangka pendek.
“Beg plastik di premis runcit, besar dan kecil, terus mengganggu ekosistem marin kita. Sudah tiba masa melaksanakan pelan segera secara serius untuk menghentikan beg plastik pengguna secara berperingkat.a
“Sistem bayar jika guna yang sedia ada tidak berfungsi dan dialog perlu diadakan mengenai perkara itu.
“Sebuah jawatankuasa peringkat tinggi tiada kaitan politik perlu ditubuhkan untuk merangka pelan ke arah larangan penuh, yang termasuk pembabitan pengeluar beg plastik.”
Kerajaan Selangor sedia ada mula mengenakan caj 20 sen bagi beg plastik mulai 1 Januari 2017 dan jumlah kutipan mencecah RM1.87 juta setakat Julai tahun lalu.
Pulau Pinang pula memulakan dasar “tiada beg plastik percuma” pada 1 Julai 2009, dengan mengenakan caj untuk beg plastik pada setiap Isnin. Ia turut melaksanakan larangan kekal ke atas penggunaan bekas makanan polisterina.
Mereka kemudiannya memperluaskan larangan itu kepada 3 hari, iaitu Isnin hingga Rabu, mulai 2010. Larangan penuh ke atas beg plastik percuma dilaksanakan mulai 2011.