Mahkamah kekal keputusan, Khairy perlu bayar RM150,000 kepada Anwar

Mahkamah kekal keputusan, Khairy perlu bayar RM150,000 kepada Anwar

Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Anwar membatalkan notis rayuan ketua Pemuda Umno itu yang 'tidak jelas dan meragukan'.

KJ
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan ganti rugi sebanyak RM150,000 yang diputuskan pada 29 September 2017 kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas membatalkan rayuan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Panel 3 hakim yang dipengerusikan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, berkata notis Khairy “tidak jelas dan meragukan”.

Panel itu juga memerintah Khairy membayar RM10,000 dalam bentuk ganti rugi kepada Anwar.

Tengku Maimun bersama Hakim Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Zabariah Yusof, berkata panel itu terikat kepada penghakiman Mahkamah Persekutuan yang perayu harus memfailkan notis berasingan jika mempunyai lebih daripada satu rayuan.

Khairy mengemukakan rayuan terhadap keputusan Hakim Azizul Azmi Adnan yang enggan membenarkan beliau meminda kenyataan pembelaannya selepas perbicaraan dan turut mendapati Khairy bertanggungjawab serta menjatuhkan kuantum ganti rugi.

Menteri belia dan sukan itu hanya memfailkan satu notis rayuan. Anwar kemudiannya memfailkan permohonan membatalkan notis itu lemah.

“Menurut pandangan sebulat suara kami, usul ini termasuk dalam prinsip disebut Mahkamah Persekutuan dalam kes Deepak (A Santamil Selvi v Deepak Jaikishen) dan kami tiada kuasa mengabaikan doktrin duluan mengikat itu.”

Selepas meneliti notis rayuan itu, Tengku Maimun berkata panel itu berpendapat wujud kesamaran sama ada perayu (Khairy) merayu terhadap keputusan tidak membenarkan beliau meminda pembelaan itu.

“Apa yang turut disebut adalah perayu (Khairy) merayu terhadap penghakiman yang memihak plaintif (Anwar).

“Jadi, kami membenarkan rayuan itu,” katanya.

Panel itu turut menolak permohonan oral daripada peguam Khairy, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, sementara menunggu rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

Peguam Anwar, Sivarasa Rasiah membantah atas dasar tiada apa yang perlu dirayu kerana notis sudah dibatalkan.

Tahun lepas, Azizul memutuskan kenyataan “main belakang” yang dibuat Khairy pada 2008 mempunyai konotasi seksual yang bertujuan menyerang Anwar dan menggugurkan pembelaan Khairy atas komen wajar dan perlindungan bersyarat.

“Dakwaan yang dibuat adalah serius dan boleh mempunyai maksud memfitnah,” katanya.

Sehubungan itu, Azizul mengarahkan Khairy membayar faedah 4% setahun ke atas ganti rugi RM150,000, bermula dari tarikh Anwar memfailkan saman iaitu 19 Februari 2008 dan kos sebanyak RM60,000.

Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy dan menuntut ganti rugi RM1 juta, dengan mendakwa Khairy mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya dalam sebuah ceramah di Lembah Pantai pada 20 Februari 2008.

Anwar mendakwa frasa “main belakang” yang digunakan Khairy, bermakna dirinya seorang homoseksual dan bermoral rendah.

Mahkamah arah KJ bayar RM150,000 kerana fitnah Anwar

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.