Saya diserang bila bercakap mengenai bukan Bumiputera, kata pelajar UiTM

Saya diserang bila bercakap mengenai bukan Bumiputera, kata pelajar UiTM

Wan Muhammad Atif berkongsi pengalamannya sebagai pelajar baharu di UiTM apabila beliau tidak disukai kerana menyokong idea membuka universiti itu kepada pelajar bukan Bumiputera.

uitm_twitter_600
PETALING JAYA:
Pengguna Twitter “softest loverboy” mungkin lebih tegas tidak seperti nama gelarannya.

Suatu ketika pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu begitu menonjol dalam kalangan pelajar seangkatan apabila beliau secara terbuka menyokong idea membuka UiTM kepada pelajar bukan Bumiputera.

Pelajar itu, atau nama sebenarnya Wan Muhammad Atif, berkata kejadian berlaku di satu sesi untuk pelajar baharu UiTM.

Apabila ketua kelas bertanyakan siapakah dalam kalangan mereka menyokong idea UiTM yang hanya menerima pelajar Bumiputera dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera.

Atif kemudian mengangkat tangan menyokong idea itu, lalu mendapati hanya beliau seorang sahaja yang mengangkat tangan.

Atif dimarahi ketua kelas yang meminta beliau berdiri dan menjelaskan pendiriannya.

“Sebab dia orang pun rakyat. Saya rasa dia orang pun berhak untuk belajar,” jawab Atif.

“Dan anda tahu apa kata ketua kelas?” katanya menceritakan kejadian itu di Twitter.

“Dia kata: ‘Awak rasa kalau UiTM buka untuk bukan Bumiputera, awak akan ada di sini? Kalau India dan Cina masuk UiTM, kamu orang semua tak dapatnya nak sambung belajar’.”

Atif berkata dirinya berasa takut dengan reaksi kurang baik daripada hadirin dalam dewan itu.

Tetapi beliau sama sekali tidak menyesali menyuarakan pandangannya.

“Orang Melayu mempunyai terlalu banyak hak istimewa dan terlalu dimanjakan sehinggakan kita mengambil peluang untuk belajar sebagai satu kelebihan.

“Kita tidak memanfaatkan platform ini untuk belajar dengan bijak dan bekerja keras sedangkan ada orang bukan Bumiputera yang mempunyai semangat untuk belajar tetapi tidak mampu membayar yuran universiti dan kolej swasta,” kata Atif.

Atif berkata ketua kelas itu nyata sekali tidak berpuas hati dengan pandangannya dan mula melemparkan kenyataan-kenyataan berbaur perkauman.

Beliau berkata kejadian itu mengajar beliau rasisme tidak diwarisi.

“Ia diajar,” katanya.

Perkongsian beliau disukai dan dikongsi semula hampir 5,000 kali dan mencetuskan rantaian komen daripada rakyat. Ada yang mempertahankan beliau, tetapi ada juga yang mengkritiknya, mengatakan beliau tidak tahu asal usul UiTM.

“Nasihat saya, kenal dan selidik dulu sejarah dan undang-undang dan perlembagaan sebelum bersuara. Kenapa UiTM diberikan sebagai hak keistimewaan kepada Bumiputera? Ini bukan pasal rasis ya adik,” kata seorang pengguna Twitter.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.