Pembangkang tak konsisten tentang pelaburan China, kata menteri

Pembangkang tak konsisten tentang pelaburan China, kata menteri

Pembangkang cuba mencetuskan kemarahan rakyat tetapi dalam masa yang sama mempromosikan pelaburan di China.

china-wang-pelaburan
KOTA BHARU: Dakwaan pembangkang terhadap pelaburan China yang dikatakan memberi kesan negatif kepada negara bertujuan mencetuskan kemarahan rakyat terhadap kerajaan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata walaupun pelaburan dari China sering dipandang negatif oleh pihak tertentu, pembangkang juga sedar pelaburan dari China amat penting terutama di negeri yang ditadbir mereka.

“Kita tahu pemimpin seperti Azmin Ali (menteri besar Selangor) dan Lim Guan Eng (ketua menteri Pulau Pinang) melawat China untuk mempromosikan pelaburan di negara tersebut walaupun bertentangan dengan apa yang disuarakan pemimpin besar mereka.

“Ini jelas menunjukkan mereka tak konsisten dan ia sengaja dicetuskan semata-mata untuk membangkitkan kemarahan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi beberapa keluarga masyarakat Tionghoa yang menyambut Tahun Baharu Cina di sekitar Kota Bharu hari ini.

Semalam, Azmin dilaporkan sebagai berkata pelaburan dari China perlu dialu-alukan kerana manfaat kepada negara, kenyataan yang dilihat bertentangan dengan pandangan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang mengkritik pelaburan langsung asing (FDI) dari China.

Mustapa berkata kenyataan Azmin jelas membuktikan kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) berada di landasan yang betul selama ini.

“Hakikatnya banyak lagi negara yang melabur di negara ini seperti Amerika Syarikat, Korea, Jepun dan Jerman. China merupakan sebahagian daripada pelabur yang datang melabur.

“Maka rakyat Malaysia perlu memilih kerajaan mana yang lebih konsisten menjalankan pelbagai dasar jangka pendek, sederhana dan panjang yang membawa faedah kepada mereka pada masa depan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.