Sukar kawal ‘guru agama segera’ di YouTube, kata Zahid

Sukar kawal ‘guru agama segera’ di YouTube, kata Zahid

Mereka mempunyai pengikut yang ramai yang taksub, dan ceramah menjadi tarikan ramai disebabkan lawak jenaka.

ahmad-zahid-hamidi-Pelancaran-Garis-Panduan-Penulisan-dan-Penerbitan-Teks-Hadis
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kanan) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan timbalannya Datuk Asyraf Wajdi ketika melancarkan garis panduan teks hadis hari ini.
PUTRAJAYA:
Kerajaan mengakui sukar untuk menangani penceramah yang memberi tafsiran berbeza mengenai ajaran Islam kerana pengikut mereka yang ramai dan taksub.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun mengakui penceramah sedemikian merujuk kepada sumber hukum yang diterima.

Menurutnya, ada di kalangan mereka yang terkenal sebagai pemain gitar kumpulan rock “tiba-tiba” mengambil peranan sebagai penceramah agama.

“Ya, penceramah demikian merujuk sumber hukum tapi tafsiran beza,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Garis Panduan Penulisan dan Penerbitan Teks Hadis hari ini.

Zahid turut melahirkan kebimbangan sekiranya ceramah yang disampaikan oleh penceramah seperti itu dimuat naik ke dalam laman sosial seperti YouTube.

“Penceramah secara fizikal masih boleh ditegur. Mungkin tauliahnya boleh ditarik, bagaimana jika ia diyoutubekan?” soalnya.

“Tersebar dan ditontoni oleh jutaan pengikut-pengikut yang akhirnya taksub.”

Menurutnya, ada juga menggunakan hadis palsu dan menawarkan tafsiran salah.

Ia kemudian menjadi daya tarikan ramai disebabkan lawak jenaka yang diselitkan dalam kuliah, katanya.

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertanggungjawab teks hadis perlu mewujudkan garis panduan baru.

“Saya saran agar garis panduan melalui teknologi baru. Hashtag hadis sahih contohnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.