
Pertubuhan Kesihatan dan Kebajikan Malaysia (PKKUM) berkata pertemuan 2 jam 15 aktivis transgender dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) pada Rabu mengukuhkan hubungan antara komuniti transgender dan pihak berkuasa agama sejak Zulkifli mahu bekerjasama membantu komuniti itu.
Pengasas PKKUM Elisha Kor Krishnan pada Khamis berkata mesyuarat itu membincangkan keperluan mengalakkan kajian Al-Quran dan hadis agar masyarakat celik isu transgender.
“PKKUM sedang berusaha untuk menghapuskan stigma dan diskriminasi terhadap individu transgender,” kata Elisha, yang juga seorang aktivis transgender.
Elisha berkata pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1982 yang melarang pembedahan menukar jantina menyebabkan golongan transgender tidak dapat menyelesaikan identiti mereka.
“Fatwa ini bukan sahaja mempengaruhi orang transgender Islam tetapi juga transgender bukan Islam,” katanya.
Zulkifli antara tokoh agama yang ke depan mendekati komuniti transgender. Pada Disember lepas beliau bertemu sendiri orang-orang transgender di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur, dan pada Jun bertemu Persatuan Kebajikan Komuniti Ikhlas Malaysia yang membantu golongan transgender, pengguna dadah, pekerja seks dan bekas bantuan.
“Alhamdulillah, menerima kunjungan balas komuniti transgender daripada PKKUM. Terharu dengan semangat yang ditunjukkan untuk hadir,” kata Zulkifli di Twitter.
“Mohon maaf atas jamuan yang tidak seberapa. PMWP komited untuk menekuni isu-isu berkaitan berlandaskan neraca sains dan agama nanti,” tambahnya.
Sementara itu, Elisha memberitahu FMT pihaknya merancang untuk membentuk satu kumpulan sokongan yang akan membantu orang transgender mengakses keperluan asas agar mereka tidak terpaksa meninggalkan Islam dan negara untuk mendapatkan perlindungan.
“Bantuan profesional dari kedua-dua bidang perubatan dan keagamaan, mereka akan dapat memberikan penyelesaian untuk menamatkan stigma dan diskriminasi terhadap orang transgender,” katanya.
Penjelasan pejabat mufti
Sementara itu, PMWP dalam kenyataan pada Jumaat meminta media membetulkan tajuk laporan kunjungan balas aktivis transgender itu kerana ia membuka ruang kepada salah faham tujuan sebenar mufti dalam isu ini.
PMWP menjelaskan “fatwa” 1982 yang dikatakan itu bukanlah fatwa dari sudut perundangan.
“Ianya adalah keputusan hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia,” kata pejabat itu merujuk kepada badan yang kini dikenali sebagai Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.
“Ia membawa implikasi berbeza dalam sistem perundangan di Malaysia,” tambahnya.
PMWP menegaskan ada perbezaan antara “transgender” dan “khunsa” dan menyamakan 2 istilah itu boleh membawa salahfaham.
“Transgender dan khunsa (interseks) adalah jauh berbeza dari sudut istilah dan pemahamannya. Begitu juga hukumnnya dari sudut agama. Normalisasi istilah transgender yang disamakan dengan khunsa boleh membawa salahfaham masyarakat dalam hal ini,” kata pejabat itu.