Terowong: Guan Eng pertikai tindakan SPRM panggil Ramasamy

Terowong: Guan Eng pertikai tindakan SPRM panggil Ramasamy

Ketua menteri P Pinang persoal mengapa timbalannya yang memegang portfolio pendidikan turut dipanggil berhubung projek itu.

lim-guan-eng_penang_trowong_sprm_600
GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini mempertahankan timbalannya, yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung projek terowong dasar laut dan 3 projek jalan utama bernilai RM6.3 bilion.

Lim berkata tindakan SPRM memanggil P Ramasamy untuk disoal siasat adalah pelik kerana portfolionya sebagai exco negeri tidak ada kaitan dengan projek jalan raya.

“Ramasamy menjaga pendidikan dan perpustakaan. Ia tiada kaitan dengan projek itu, jadi mengapa dia dipanggil untuk memberikan kenyataan?

“Ramasamy juga tidak menganggotai jawatankuasa tender negeri. Oleh itu saya percaya, jika (dia) disiasat, maka semua exco negeri akan disiasat juga. Mereka yang tidak terlibat juga akan dipanggil,” katanya pada sidang media hari ini.

Ramasamy hadir ke pejabat SPRM untuk memberi kenyataan kira-kira 8.50 pagi hari ini. Beliau masih disoal siasat.

Bercakap kepada pemberita, Lim bertanya sama ada Ramasamy sedang disiasat kerana mengeluarkan kenyataan terhadap Barisan Nasional (BN), dan sama ada SPRM cuba melindungi gabungan itu.

Lim juga bersedia untuk disoal siasat SPRM, dan mengarahkan exco negeri memberikan kerjasama penuh kerana mereka tidak menyembunyikan apa-apa.

“Kami sangat tidak bersetuju cara SPRM mengganggu kerajaan negeri. Kami mengharapkan mereka yang terlibat dalam projek itu dipanggil, tetapi mengapa Ramasamy?

“Ini bertujuan untuk merosakkan imej kerajaan Pulau Pinang.”

Kenyataan itu susulan soal siasat ke atas Exco Kerja Raya Lim Hock Seng berhubung projek itu selama 12 jam semalam.

Sehingga kini, SPRM telah mengambil keterangan 76 saksi bagi melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.

Tangkapan terakhir membabitkan ketua eksekutif dan seorang jurutera sebuah syarikat perunding, yang didakwa terlibat dalam penyediaan dokumen tuntutan palsu dalam kajian kebolehlaksanaan projek itu.

Lima orang ditahan reman sebelum ini dan kemudian dibebaskan.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2km itu menghubungkan Persiaran Gurney di George Town ke Bagan Ajam di Butterworth. Pembinaan dijadualkan bermula 2023.

Kajian kebolehlaksanaan terowong itu yang menjadi pertikaian antara pemimpin kerajaan dan pembangkang di tahap 95.9% setakat Disember lepas.

Kerajaan Pulau Pinang berkata terowong itu berkeutamaan rendah dan boleh dilaksanakan kemudian, selepas 3 jalan utama siap dibina.

Tiga laluan itu dari Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (5.7km), Tanjung Bungah ke Teluk Bahang (10.53km) dan simpang Jalan Pangkor-Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (4.1km).

Terowong dasar laut: SPRM sah panggil 2 exco tertinggi P Pinang

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.