Noh: Kebakaran bangunan KWSP tiada unsur jenayah

Noh: Kebakaran bangunan KWSP tiada unsur jenayah

Kebakaran berpunca daripada nyalaan LPG oleh kontraktor pembaikan yang terkena dinding luar yang diperbuat daripada bahan mudah terbakar.

noh-omar_kwsp_bakar_600
PUTRAJAYA:
Kebakaran di bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, Petaling Jaya tidak mengandungi unsur perbuatan jenayah atau sabotaj, sebaliknya adalah kebakaran tidak disengajakan, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar hari ini.

Beliau berkata kebakaran itu berlaku semasa kerja pembaikan masalah kebocoran “External Insulation Finishes System” (waterproofing) dengan menggunakan “granule bitumen membrane roll” dilakukan di foyer di sebelah belakang di tingkat 1 bangunan.

Katanya “waterproofing membrane” itu perlu dileburkan dahulu bagi membolehkan bahan tersebut melekat pada lantai konkrit dan kaedah melebur itu menggunakan “single burner flame gun” yang menggunakan gas petroleum cecair (LPG).

“Semasa kontraktor melakukan kaedah melebur itu, beliau tidak tahu salutan dinding luar (cladding) jenis EIFS (Exterior Insulation and Finish System) diperbuat daripada bahan mudah terbakar iaitu “Polystyrene foam”.

“Bangunan KWSP ini membuat pengubahsuaian yang melibatkan pemasangan ‘cladding’ ini pada 2003 dan menampalkan pada bangunan mereka,” katanya dalam sidang media mengenai kebakaran bangunan KWSP di pejabatnya hari ini.

Mengulas lanjut, Noh berkata pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan pukul 11.52 pagi dan tiba di tempat kejadian 5 minit kemudian. Operasi memadam kebakaran mengambil masa kira-kira 30 minit dan seramai 527 pekerja di bangunan tersebut berjaya menyelamatkan diri.

Beliau menjelaskan kebakaran itu melibatkan 5% daripada keseluruhan bangunan iaitu pada bahagian cladding di bahagian sebelah kiri dan belakang, manakala bahagian dalam cuma berlaku kebakaran di sebahagian kecil di tingkat 6.

Berdasarkan kesan kebakaran dan keterangan saksi, beliau berkata tempat bermula kebakaran adalah sebelah kiri di bahagian belakang di tingkat 1 lantai foyer.

“Sumber nyalaan yang mencetuskan kebakaran adalah nyalaan daripada LPG yang digunakan pada Single Burner (LPG) Flame Gun yang terkena pada cladding dipasang pada bahagian luar dinding tersebut. Kemudian kebakaran ini merebak dengan cepat pada cladding yang diperbuat daripada polystyrene foam itu.

“Mana-mana bangunan perlu mendapatkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dan apabila bangunan itu mengubah suai, mereka bertindak menambah bahan-bahan yang tidak diluluskan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.