Bangunan 80-an, 90-an disyaki guna salutan mudah terbakar

Bangunan 80-an, 90-an disyaki guna salutan mudah terbakar

Ahli Majlis PAM Chong Lee Siong berkata pelapis mengandungi bahan "polyfoam" sering digunakan pada bangunan yang dibina dan diubah suai pada masa itu.

pam
PETALING JAYA: Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) mengesyaki mana-mana bangunan yang dibina sekitar 1980-an hingga pertengahan 90-an menggunakan salutan (cladding) mudah terbakar.

Ahli Majlis PAM Chong Lee Siong berkata, pelapis mengandungi bahan “polyfoam” sering digunakan pada bangunan yang dibina dan diubah suai pada masa itu.

“Saya boleh katakan, mana-mana bangunan yang dibina atau diubahsuai mengikut stail dan bahan pada tahun 80-an sehingga pertengahan 90-an, semuanya disyaki.

“Pada masa itulah, semua bahan ini berkembang dan digunakan. Sebelum ia dikenalpasti sebagai bahan berbahaya, bahan pelapis ini merupakan antara teknologi baharu pada ketika itu,” katanya kepada FMT.

Semalam, bomba berkata kebakaran bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berpunca daripada percikan api yang terkena lapisan dinding luar bangunan yang dipasang pelapis diperbuat daripada “polyfoam” mudah terbakar.

“Berdasarkan siasatan dan kajian awal, kita dapati bangunan ini dipasang ‘cladding’ yang mudah terbakar, kemungkinan tidak diluluskan mana-mana pihak,” kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Datuk Soiman Jahid.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar hari ini berkata kebakaran berlaku semasa kerja pembaikan masalah kebocoran salutan dinding luar jenis “external insulation finishing system” dengan menggunakan “granule bitumen membrane roll” di foyer sebelah belakang di tingkat 1 bangunan.

Chong berkata bangunan kerajaan yang dibina seharusnya dinilai supaya wajib mendapatkan Sijil Layak Menduduki (CF) dan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) daripada bomba.

“Kita ada sedikit isu dengan bangunan kerajaan. Tidak berapa lama dahulu bangunan kerajaan dikecualikan dari CF dan CCC dan pemeriksaan bomba, jadi kemungkinan itu satu masalah.

“Apa-apa yang diperkenalkan kerajaan seharusnya dilaksanakan di setiap agensi bahkan sebarang arahan untuk pematuhan itu haruslah sama dengan bangunan-bangunan lain,” katanya.

Pada 2007, Datuk Seri Ong Ka Ting yang menjawat jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, semua bangunan milik Persekutuan yang direka Jabatan Kerja Raya (JKR) hanya perlu mendapatkan pengesahan profesional dikeluarkan jurutera atau arkitek dalaman tanpa memerlukan CF bagi membolehkan bangunan itu digunakan.

Noh: Kebakaran bangunan KWSP tiada unsur jenayah

Bomba: Percikan api kerja selenggara punca bangunan KWSP terbakar

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.