Exco: Umno guna isu Rumah Selangorku tutup kelemahan diri

Exco: Umno guna isu Rumah Selangorku tutup kelemahan diri

Iskandar Abdul Samad berkata, kerajaan negeri hari ini berbeza dengan zaman BN, di mana pemaju boleh membina rumah mewah tanpa perlu membina rumah mampu milik terlebih dahulu mengakibatkan ada projek rumah kos rendah tidak dibina sehingga kini.

iskandar
PETALING JAYA: Exco Selangor hari ini membidas Tan Sri Noh Omar cuba menutup kelemahan Umno dengan menjadikan pembatalan 9 projek Rumah Selangorku sebagai mainan politik.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata tindakan itu juga menunjukkan Umno tidak memahami proses pembinaan sebuah projek perumahan.

Beliau berkata, pembatalan 9 projek itu membuktikan Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Pembangunan Rumah Selangorku menjalankan tanggungjawab mereka untuk memantau dan mengambil tindakan terhadap pemaju sebaik sahaja berlaku kelewatan.

“Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Pembangunan Rumah Selangorku sentiasa memantau pemaju yang mendapat kelulusan membina Rumah Selangorku dan memberi peringatan dan notis apabila terdapat projek yang lewat.

“Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) juga bersedia membantu pemaju yang menghadapi masalah dengan jabatan dan agensi kerajaan. Hanya apabila tidak ada tindakan daripada pemaju, kelulusan akan dibatalkan,” katanya dalam satu kenyataan kepada FMT hari ini.

Beliau berkata, selepas dibatalkan kelulusan, pemaju tidak boleh memulakan projek pembinaan rumah harga bebas.

“Oleh yang demikian, pemaju yang dibatalkan kelulusan Rumah Selangorku perlu mendapatkan kelulusan semula dan memulakan pembinaan Rumah Selangorku sebelum boleh membina rumah harga bebas.

“Ini berbeza dengan zaman BN, di mana pemaju boleh membina rumah harga bebas tanpa perlu membina rumah mampu milik kos rendah terlebih dahulu. Akibatnya terdapat rumah tersebut yang tidak dibina hingga ke hari ini.

“Contohnya, menurut rekod LPHS untuk 2 kawasan pihak berkuasa tempatan sahaja, sebanyak 4,638 rumah kos rendah yang diluluskan di zaman BN belum dibina. Majlis Perbandaran Subang Jaya 1,755 unit dan Majlis Perbandaran Kajang 2,883 unit.”

Semalam, Noh yang juga pengerusi BN Selangor menggesa kerajaan negeri berhenti berdolak-dalik dan menjelaskan segera punca 9 projek Rumah Selangorku dibatalkan.

Menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata, kenyataan Iskandar dan Datuk Seri Azmin Ali bercanggah dalam isu pembatalan projek itu.

Selasa lalu, Iskandar dilaporkan berkata, kerajaan negeri melalui mesyuarat Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku membatalkan 9 projek rumah itu yang diluluskan 2014 hingga 2016 kerana pemaju gagal mendapat kebenaran Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Ia membabitkan 3 projek Rumah Selangorku di Kajang, 2 di Selayang dan masing-masing 1 di Subang Jaya, Shah Alam, Ampang Jaya serta Klang.

Iskandar turut menafikan dakwaan Noh yang penjelasan dibuatnya berbeza dengan kenyatan Azmin.

“Azmin menjelaskan pembatalan ini berlaku kerana pemaju mengutamakan pembinaan rumah mewah. Kenyataan saya pula menyebut pemaju gagal memohon Kebenaran Merancang.

“Kedua-dua kenyataan ini tidak bercanggah. Di antara sebab pemaju tidak memohon Kebenaran Merancang untuk Rumah Selangorku adalah kerana mereka mengutamakan pembinaan rumah mewah,” katanya.

Noh: Perjelas pembatalan projek Rumah Selangorku

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.