Polis buru perompak lepas tembakan di pasar raya Sungai Buloh

Polis buru perompak lepas tembakan di pasar raya Sungai Buloh

Suspek lepaskan tembakan dalam kedai dan ke arah kamera litar tertutup sebelum melarikan 2 laci kaunter juruwang mengandungi wang tunai kira-kira RM4,000.

penang_tembak_new_4600
KUALA LUMPUR:
Polis sedang mengesan 2 lelaki disyaki melepaskan 2 tembakan ketika menyamun sebuah pasar raya dengan senjata api semalam di Sungai Buloh, Selangor.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt S Somu berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 11.25 pagi.

“Suspek menaiki motosikal jenis Yamaha LC melepaskan tembakan dalam kedai dan ke arah kamera litar tertutup di bahagian luar sebelum melarikan 2 laci kaunter juruwang mengandungi wang tunai kira-kira RM4,000,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek turut menyamun dompet seorang wanita yang membuat pembayaran di kaunter juruwang dan pemeriksaan mendapati motosikal ditunggang suspek dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian di mana juruwang dan seorang pengawal keselamatan tanpa senjata api berada di lokasi kejadian,” katanya.

Katanya, pemeriksaan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di tempat kejadian menemukan 2 kelongsong dan 2 anak peluru.

Kes diklasifikasikan bawah Seksyen 3, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.