Najib sokong Stadium Shah Alam diserah kepada FAS

Najib sokong Stadium Shah Alam diserah kepada FAS

Ia selepas Pengerusi Umno Selangor, Noh Omar yang mengulangi janjinya untuk menyerahkan SSA kepada FAS, jika BN berjaya menawan negeri itu pada PRU14.

najib-fas
SEPANG: Datuk Seri Najib Razak hari ini menyokong cadangan menyerahkan Stadium Shah Alam (SSA) kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), jika Barisan Nasional (BN) berjaya merampas Selangor pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Syor stadium (SSA) serah balik kepada pasukan ‘The Red Giant’ saya sokong,” katanya ketika menghadiri majlis penutup Hari Gerakan 4B Malaysia dan Karnival Sukan Muhibah 4B Malaysia di Dataran Banghuris Homestay di sini.

Perdana menteri berkata demikian sebagai menyokong Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar yang mengulangi janjinya untuk menyerahkan SSA kepada FAS, jika BN berjaya menawan negeri itu.

“Hari ini kita menang, esok kita pulangkan stadium Shah Alam untuk pasukan The Red Giant. Ini kita perjuangkan untuk belia, terutama di Selangor.

“Sepatutnya pasukan Selangor yang hebat main di Stadium Shah Alam, tetapi kita sudah jadi pelarian di negeri sendiri,” katanya ketika berucap dalam majlis hari ini.

Menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan turut menggesa belia menyokong BN yang akan membela nasib mereka.

“Jangan sampai BN hilang kuasa. Kesan kepada belia. Bangkit bersama BN. Peranan perdana menteri, bapa pembela kepada belia.”

Ketika ini, SSA ialah gelanggang rasmi untuk pasukan bola sepak PKNS FC sejak semusim lalu, manakala Red Giant pula menggunakan Stadium Majlis Perbandaran Selayang untuk saingan Liga Malaysia 2018.

Bagaimanapun, perlawanan membabitkan pasukan Selangor di Selayang akan diadakan pada petang kerana lampu limpah yang tidak menepati syarat untuk aksi malam.

Kerajaan negeri, FAS masih berunding isu Stadium Shah Alam

Hari ini menang, esok serah Stadium Shah Alam, kata Noh

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.