Polis teliti rakaman CCTV gadis Belanda, jamin siasatan profesional

Polis teliti rakaman CCTV gadis Belanda, jamin siasatan profesional

Ia selepas gambar Ivana Smit didukung seorang lelaki berkulit putih beberapa jam sebelum mayatnya ditemui.

Ivana-Smit-cctv
KUALA LUMPUR: Polis berkata pihaknya sudah meneliti semua aspek yang berkait dengan kematian model Belanda, Ivana Smit, termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) seperti yang didedahkan kepada FMT.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, polis masih menunggu beberapa laporan untuk keputusan lanjut, sambil berkata sebarang unsur luar tidak akan menjejaskan siasatan.

“Kita masih jalankan siasatan dan sedang menunggu beberapa laporan untuk keputusan lanjut.

“Unsur-unsur luar tidak boleh mempengaruhi siasatan polis, semua aspek siasatan sudah dilihat dan semua rakaman CCTV juga sudah dilihat,” katanya kepada FMT.

Mazlan berkata pihaknya menjalankan siasatan secara profesional dan sebarang tuduhan yang dibuat terhadap polis negara adalah keterlaluan.

FMT hari ini menerbitkan gambar daripada rakaman CCTV di sebuah kelab malam eksklusif di ibu kota, menunjukkan Smit, 18, didukung seorang lelaki kulit putih, beberapa jam sebelum mayatnya ditemui di sebuah balkoni pangsapuri pada 7 Disember lalu.

Gambar itu merupakan antara hasil siasatan penyiasat persendirian yang diupah keluarga Smit, selepas mempersoalkan rumusan polis Malaysia yang mengatakan Smit mati mengejut akibat jatuh bangunan.

Ia menunjukkan seseorang kelihatan seperti lelaki kulit putih mendukung Smit sambil berjalan ke arah lif, pada awal pagi 7 Disember kira-kira jam 5.20 pagi.

Pada hari sama, mayatnya ditemui dalam keadaan berbogel di tingkat 6 balkoni sebuah unit kondominium di CapSquare Residences, pangsapuri setinggi 36 tingkat.

Smit berpindah ke Malaysia pada usia 3 tahun dan tinggal bersama datuk dan neneknya selama 13 tahun di Pulau Pinang.

Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut, sementara menunggu keputusan bedah siasat dan patologi, yang masih belum dikeluarkan.

Mayat Smit disimpan di rumah mayat Hospital Kuala Lumpur selama 21 hari sebelum diterbangkan ke Belanda untuk upacara pengkebumian, yang menerima liputan meluas media Belanda.

Sebelum ini, bedah siasat kedua ke atas Smit menemukan lebam pada lengannya, yang mungkin berlaku sebelum beliau jatuh.

Dalam penemuannya, pakar patologi Dr Frank van der Goot berkata lebam pada lengan atas Smit mungkin hasil pergelutan sebelum beliau jatuh dan menemui ajal.

Rakaman CCTV dedah model Belanda didukung lelaki kulit putih

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.