Parlimen Belia gesa akta gangguan seksual segera digubal

Parlimen Belia gesa akta gangguan seksual segera digubal

Wakil Pulau Pinang berkata Malaysia tidak mempunyai sebarang akta khusus mengekang gangguan seksual yang semakin menular dalam masyarakat.

gangguan-seksual
KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Belia hari ini meminta kerajaan segera menggubal Akta Gangguan Seksual bagi menangani dan membela mangsa jenayah itu.

Wakil Pulau Pinang Ahmad Zaki Shah Headan berkata pada masa ini, Malaysia tidak mempunyai sebarang akta khusus mengekang gangguan seksual yang semakin menular dalam masyarakat.

Memberi contoh India dan Filipina yang mempunyai akta khusus berhubung gejala itu, beliau berkata kewujudan akta itu akan menjadi garis panduan kepada pihak berkuasa bagi membela nasib mangsa dan mendapatkan keadilan.

“Jika ada akta, kita dapat beri garis panduan mengelakkan masalah itu daripada berlaku termasuk definisi dan prosedur memproses aduan berkaitan gejala itu,” katanya semasa membahaskan usul agar kerajaan meggubal Akta Gangguan Seksual pada persidangan Parlimen Belia hari ini.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat baru-baru ini bercadang menggubal Akta Gangguan Seksual untuk melindungi mangsa gangguan seksual terutamanya dalam kalangan wanita.

Ahmad Zaki juga mencadangkan dibangunkan prosedur aduan komprehensif memandangkan kebanyakan mangsa tidak tahu apa perlu dilakukan selain malu dan takut membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Senada dengan Ahmad Zaki, wakil Kedah Muhammad Aiman Ahmad Nahzeri mencadangkan kerajaan menubuhkan Tribunal Gangguan Seksual untuk mengendalikan kes-kes berkaitan gejala itu.

“Tribunal bukan sahaja mengendalikan kes gangguan seksual, tetapi berperanan memberi nasihat, cadangan serta laporan keberkesanan dari semasa ke semasa kepada kerajaan,” katanya.

Usul berkenaan kemudian diluluskan sebulat suara oleh Parlimen Belia bersidang selama 2 hari bermula semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.