
Menurutnya, inilah juga sebab mengapa aliran Salafi, yang banyak berkongsi penulisan sarjana yang berkait rapat dengan aliran Wahabi yang menjadi paksi kepada pemerintahan beraja Arab Saudi, semakin dihampiri pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
“Saya percaya apabila perdana menteri kita sekarang, Datuk Seri Najib Razak, mendapat idea itu dan melihat bagaimana raja-raja Saudi mempertahankan kuasa mereka selama ini, dia merasakan ia idea yang bagus,” kata Dr Farouk di majlis pelanacaran buku bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim, Zeidgeist: Building Bridges for a Greater Malaysia, semalam.
Dr Farouk yang juga mengetuai Islamic Renaissance Front (IRF) berkata kejahilan pemimpin agama bermula pada lewat 2000 dengan kelahiran “Ulama Muda Umno”, sayap dianggotai beberapa graduan Arab Saudi yang menganjurkan tafsiran Islam seperti di Arab Saudi.
“Kebanyakan agensi Islam pernah didominasi oleh golongan tradisional tetapi pada lewat 2000, dengan pembentukan Ulama Muda Umno, ada satu anjakan paradigma dan golongan-golongan ini condong daripada tradisionalisme kepada Salafisme,” katanya.
Farouk mendakwa daripada titik pertemuan antara Salafisme dan institusi agama, rakyat mula menyaksikan kecendurangan negara ke arah fundamentalisme.
Menurut Dr Farouk, ia juga di sebalik tindakan memburuk-burukkan mereka yang tidak sealiran seperti pengikut mazhab Syiah, dan juga di sebalik fatwa yang menegah umat Islam memberi ucapan seperti “Merry Chritsmas”.
“Orang seperti saya dan Zaid tidak membesar dalam keadaan di mana pemimpin agama berpesan semua perkara itu. Semua perkara it berlaku tiba-tiba kerana satu lagi doktrin yang dipegang golongan Salafi: Al wala’ wa-al barra’ (taat setia dan berlepas diri dari kekufuran) yang secara asas bermakna tidak dibenarkan menjalin sebarang kerjasama dengan orang kafir.”
PH atau BN: Analogi perubatan
Sementara itu, menyentuh kempen #Undirosak oleh sesetengah pihak, Dr Farouk yang juga terlatih sebagai pakar bedah, memberikan analogi perubatan.
Menurutnya, kempen itu hanya menjadikan Barisan Nasional (BN) kekal berkuasa.
Katanya, memilih antara Pakatan Harapan (PH) dam BN sama seperti pakar bedah menentukan sama ada pembedahan diperlukan.
“Dalam pembedahan, kita ada konsep ‘respectability’ dan kebolehkendalian (operability). ‘Respectability’ adalah sama ada penyakit itu boleh dikeluarkan melalui pembedahan, dan kebolehkendalian adalah sama ada pesakit boleh menjalani pembedahan.
“Kalau kita tidak mengundi dan kerajaan sekarang terus berkuasa, mereka akan terus merasakan mereka kebal. Kita mesti keluarkan kekebalan itu.
“Sekalipun PH gagal menjalankan tugas, selepas 5 tahun kita ada peluang untuk menukar kerajaan. Apa yang berlaku sekarang, kerajaan sekarang tidak kebal.”