
Institut Penyelidikan Sosial Malaysia (MSRI) berkata, Malaysia sebaliknya adalah “neraka” bagi pelarian.
“Berdasarkan pengalaman saya, saya tidak fikir dan tidak akan terfikir Malaysia sebuah tempat baik untuk pelarian,” kata kaunselor MSRI, Ronald Sutedja memetik laporan News Deeply.
Antara kebimbangan dibangkitkan dalam laporan itu adalah keengganan kerajaan mengiktiraf konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai pelarian, serta halangan undang-undang untuk pelarian mendapat pekerjaan dan pendidikan.
Laporan itu juga memetik kes seorang kanak-kanak lelaki Iraq berusia 14 tahun, Hassan Siham Samawi Nukhailwi, yang berdepan gangguan daripada rakan sekolahnya yang menggelarnya pengganas dan menuduhnya membawa masalah kepada negara ini.
“Saya suka Malaysia, tetapi sesetengah rakyat Malaysia tidak baik untuk saya,” katanya.
Sementara itu, pelarian Syria berusia 12 tahun, Mohammed ingin meneruskan pendidikannya yang terjejas akibat rusuhan di Aleppo.
Beliau terpaksa berhenti daripada sekolah kendalian NGO selepas bapanya jatuh sakit dan berhenti kerja.
Tanggungjawab menyara keluarganya kini terletak di bahunya dan abangnya yang bekerja syif 12 jam sebagai pencuci pinggan di restoran sebuah universiti dengan bayaran RM20 sehari.
Menurut laporan itu, terdapat kira-kira 152,400 pelarian tinggal di negara ini, dengan anggaran 40,000 hingga lebih 100,000 pelarian yang tidak didaftarkan.
Laporan itu berkata, majoriti pelarian datang dari Myanmar, termasuk 66,000 etnik Rohingya, diikuti Pakistan, Yaman dan Syria.
Tempoh mendaftar sebagai pelarian boleh memakan masa bertahun-tahun disebabkan ramai pelarian dari Myanmar, dengan 56,300 pemohon suaka belum selesai pada akhir 2016, yang menghalang proses itu.
Dari segi pendidikan, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menyokong “sistem sekolah selari” yang kebanyakannya dikendalikan kumpulan berasaskan agama dan badan amal.
Bagaimanapun, laporan itu berkata, pensijilan jarang disediakan dan hanya sesetengah kanak-kanak dapat meneruskan pelajaran ke peringkat menengah.
UNHCR menganggarkan hanya sekitar 30% pelarian kanak-kanak di Malaysia bersekolah.