Kanak-kanak warga Argentina hilang sudah dijumpai

Kanak-kanak warga Argentina hilang sudah dijumpai

Penculiknya dikesan berada di Indonesia dan Kedutaan Argentina di Jakarta mengesahkan penahanan penculiknya semalam (6 Februari).

Alum-Langone-Avalos
KUALA LUMPUR: Alum Langone Avalos, kanak-kanak perempuan warga Argentina dilaporkan hilang sebelum ini, sudah dijumpai dan dipertemukan semula dengan ibunya, kata Kedutaan Argentina di Malaysia.

Kedutaan itu dalam kenyataan hari ini berkata kanak-kanak 7 tahun itu yang dilaporkan hilang sejak Jun tahun lepas dan dilihat di beberapa lokasi di Malaysia, dikesan berada di Indonesia dan Kedutaan Argentina di Jakarta mengesahkan penahanan penculiknya semalam (6 Februari).

“Media yang memberi liputan besar-besaran kepada berita ini membantu mewujudkan kesedaran bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di negara Asia Tenggara lain.

“Rakyat Malaysia yang baik hati dan suka menolong turut menghulurkan bantuan dalam pelbagai cara, dan paling penting, melaporkan lokasi Alum serta penculiknya membawa kepada kejayaan menemuinya di Indonesia,” menurut kenyataan itu.

Kedutaan itu menegaskan, ibu Alum, Elizabeth Avalos, kini berada di Indonesia untuk dipertemukan semula dengan anak perempuannya itu, dan sebagai persediaan menghantar mereka pulang ke Buenos Aires, Argentina.

Kedutaan di Kuala Lumpur dan Jakarta bekerjasama rapat memastikan Elizabeth dapat membawa pulang Alum ke pangkuan keluarga serta sahabat handai secepat mungkin.

Dalam kenyataannya, Duta Argentina di Malaysia, Manuel Balaguer Salas mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Malaysia, media dan orang ramai atas bantuan serta kerjasama bagi menyelesaikan kes itu.

“Pertemuan semula antara Alum dan ibunya tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa sokongan berterusan semua pihak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.