
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata berkata pelbagai usaha dilakukan termasuk menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Riduan dan anaknya, Prasana Diksa/Ummu Habibah tampil membantu pencarian polis.
“Usaha mencari Muhammad Riduan tidak terhenti sebagai mematuhi keputusan dibuat Mahkamah Tinggi Malaya, Ipoh pada 30 Mei 2014,” kata Wan Ahmad dalam kenyataan media hari ini.
Perebutan hak penjagaan anak Riduan dan Indira menjadi perhatian masyarakat berikutan pertikaian tentang status pengislaman ketiga-tiga anak mereka, Tevi Darsiny, Karan Dinish dan Prasana, yang ditukar agama tanpa persetujuan ibu.

Pada 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh memberi Indira hak penjagaan sepenuhnya terhadap ketiga-tiga anaknya dan memerintahkan Riduan menyerahkan Prasana kepada ibunya. Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan polis menangkap Riduan kerana ingkar perintah Mahkamah Tinggi.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebelum ini berkata usaha mengesan Riduan masih diteruskan sejak 2014 berdasarkan waran pengkomitan dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 30 Mei 2014.
Wan Ahmad menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai kes itu agar tidak menjejaskan ketenteraman awam.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terus menerus memainkan isu ini dengan apa jua cara yang boleh mewujudkan ketegangan di dalam kalangan masyarakat majmuk dalam negara ini,” katanya.
Pada 29 Januari lalu, selepas 9 tahun bertikaian, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa mahkamah sivil mempunyai hak untuk mendengar kes penukaran agama sebelah pihak, bahawa penukaran agama anak perlu dipersetujui oleh ibu dan bapa, dan sijil penukaran agama Tevi Darshiny, Karan Dinesh dan Prasana Diksa tidak sah dan terbatal.