Wabak anjing gila di Sarawak terkawal

Wabak anjing gila di Sarawak terkawal

Setakat semalam, 6 kematian dilaporkan akibat wabak itu dan Kementerian Kesihatan sedang bekerjasama dengan Jabatan Veterinar Kuching untuk mengekang wabak berkenaan.

hilmi-yahya-rabies
SHAH ALAM: Wabak rabies atau anjing gila di Sarawak terkawal walaupun terdapat 1 kes kematian terbaru akibat wabak berkenaan Ahad lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata kes kematian lelaki berusia 59 tahun itu merupakan kes lama November tahun lepas.

“Wabak rabies masih lagi terkawal, saya nasihatkan sesiapa terkena gigitan anjing segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital kerajaan.

“Jika terkena gigitan anjing, segera cuci tempat gigitan dan terus datang ke hospital dapatkan vaksin,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis ramah mesra bersama Ahli Lembaga Pelawat dan Panel Klinik Kesihatan Selangor hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan lelaki itu meninggal dunia pada pukul 4.44 petang Ahad lepas selepas dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) 25 Januari lepas.

Mangsa dilaporkan mempunyai sejarah digigit anjing pada 27 November tahun lepas dan hanya mendapatkan rawatan di klinik swasta tetapi tidak dirujuk ke HUS untuk disuntik vaksin.

Hilmi berkata setakat semalam, 6 kematian dilaporkan akibat wabak itu dan kementeriannya sedang bekerjasama dengan Jabatan Veterinar Kuching untuk mengekang wabak berkenaan.

Sejak Jun tahun lepas 7 orang dimasukkan ke beberapa hospital sekitar Sarawak akibat digigit anjing di mana 6 meninggal dunia termasuk yang terbaru pada Ahad lepas dan hanya seorang sahaja selamat.

Pada majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM300,000 kepada 60 buah klinik kesihatan dan RM120,000 kepada 12 buah hospital seluruh Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.