
Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Jamilah Hashim berkata, lelaki berusia 59 tahun itu disahkan meninggal dunia kira-kira 4.44 petang semalam di Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Penyebab kematian lelaki tersebut adalah rabies encephalitis. Kes dari Jalan Batu Kawa-Matang, Kuching ini mempunyai sejarah digigit anjing pada November tahun lepas dan mendapatkan rawatan di HUS bulan lepas (24 Januari) apabila mula menunjukkan gejala neurologi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, setakat semalam, jumlah kes rabies dalam kalangan manusia kekal 7 mangsa; 6 meninggal dunia dan hanya seorang selamat.
“Mangsa ke-6 seorang kanak-kanak 7 tahun dari Kampung Kuala, Serian dibenarkan keluar hospital pada 31 Januari 2018,” katanya sambil menambah tiada kes baharu dilaporkan buat masa ini.
Dr Jamilah berkata, sejak 1 Julai tahun lalu hingga semalam, sebanyak 29 lokaliti di 5 bahagian di negeri ini, iaitu Serian, Samarahan, Sri Aman, Kuching dan Sarikei didapati positif rabies.