Isyarat tangan ‘ala-IS’ oleh mufti Perlis timbul persoalan

Isyarat tangan ‘ala-IS’ oleh mufti Perlis timbul persoalan

Sekeping gambar menunjukkan mufti Perlis itu bersama pendakwah Farid Ahmad Oqbah yang terkenal dengan kempen anti-Syiah di Indonesia.

Muhd-Asri1
Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin (tengah) bersama seorang pemimpin Indonesia yang terlibat dalam kempen anti-Syiah, Farid Ahmad Oqbah (sebelah kanan Asri), membuat isyarat jari telunjuk semasa lawatan ke Jakarta pada 2 Februari lalu.
PETALING JAYA:
Gambar Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menunjukkan isyarat tangan yang dipopularkan kumpulan militan IS ketika dalam satu majlis bersama seorang agamawan beraliran Salafi di Indonesia baru-baru ini mengundang kritikan.

“Saya sangat tersentak!” tulis novelis terkenal Faisal Tehrani, di laman Twitternya, dalam responnya selepas gambar itu turut dimuat naik ke laman Facebook mufti Perlis itu.

Gambar itu turut menampilkan Farid Ahmad Oqbah, seorang pendakwah beraliran Salafi di Indonesia yang lantang bersuara.

Farid antara agamawan di barisan depan kempen menentang Syiah, termasuklah di Indonesia di mana golongan minoriti agama berdepan serangan daripada kumpulan Islamis tempatan.

Isyarat menegakkan jari telunjuk itu banyak dikaitkan dengan kumpulan IS, walaupun ia merujuk kepada doktrin tauhid atau keesaan Allah, dan juga digunakan dalam solat 5 waktu ketika mengucapkan syahadah.

Namun, sejak kebelakangan ini ia banyak digunakan militan IS termasuklah dalam bahan promosi mereka secara dalam talian.

“Bagi pengikut IS, menegakkan jari telunjuk menjadi isyarat perjuangan mereka, dan isyarat itu semakin banyak dilihat dalam gambar militan. Malah, sesetengah juga menggelar simbol itu ‘isyarat jihad’ sebagaimana isyarat lain digunakan kumpulan samseng’,” kata penganalisis berpangkalan di Amerika Syarikat, Nathaniel Zelinsky dalam artikel majalah Foreign Affairs pada 2014.

barut51
Isyarat mengangkat jari telunjuk menjadi simbol pejuangan militan IS.

Asri berjumpa Farid beberapa hari selepas mengecam golongan Syiah, mengatakan mereka merupakan ancaman kepada keselamatan Malaysia.

Kenyataannya dikritik ahli akademik dan aktivis hak asasi, mengatakan mereka yang ditahan kerana melakukan keganasan bukanlah golongan Syiah tetapi pengikut IS yang doktrinnya berpaksikan ideologi Wahabi yang diamalkan Arab Saudi.

Serangan Asri terhadap Syiah adalah susulan kenyataan isteri aktivis Perlis yang hilang, Amri Che Mat. Isterinya mendakwa beliau mengesyaki jabatan fatwa di bawah Asri berperanan dalam kes kehilangan suaminya.

Asri menafikan beliau terlibat dalam kehilangan Amri, tetapi mengakui pernah menyoalnya mengenai kecenderungannya terhadap Syiah.

IS kerap menguar-uarkan perbuatan mereka membunuh golongan Syiah di Timur Tengah dan negara lain.

Islam Syiah adalah mazhab ke-2 terbesar dalam Islam, dan banyak diamalkan di Iraq, Iran, Kuwait, Bahrain, dan golongan minoriti kecil di Arab Saudi, Yaman dan Pakistan.

Pihak berkuasa Islam di Malaysia menganggap Syiah sebagai “mereka yang berfahaman menyeleweng”, menerusi keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1996.

Sementara itu, apabila diminta untuk mengulas status beliau di Twitter, Faisal yang sebelum ini dituduh mempromosikan Syiah menerusi beberapa novel yang diharamkan kerajaan, berkata beliau tidak mahu membuat sebarang tuduhan buat masa sekarang.

“Saya nak sangka baik. Boleh jadi 1Malaysia; tanda kalimah syahadah; mungkin juga tanda salutasi Abu Bakr Baghdadi,” katanya yang merujuk kepada pemimpin IS itu.

Asri serang Amri, kata Syiah ancam ‘keselamatan negara’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.