
Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata cadangan itu dilihat rasional memandangkan Islam merupakan agama rasmi negara sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, ia juga mampu mengangkat taraf mahkamah syariah setanding mahkamah sivil.
“Saya sokong cadangan mufti itu perlu dilaksanakan dan dipertimbangkan oleh pihak berkuasa kerana mengikut Perlembagaan, Islam adalah agama persekutuan, dalam masa yang sama kebebasan agama lain turut dijamin.
“Mendirikan hukum syariat juga adalah menegakkan keadilan untuk semua. Sebab itu tak perlu bimbang tentang diskriminasi terhadap kaum lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Wisma Purnama PAS Kawasan Gopeng hari ini.
Pada 1 Februari lalu, cadangan berhubung pindaan itu dikemukakan oleh Harussani susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan rayuan untuk membatalkan penukaran agama 3 anak guru tadika M Indira Ghandi kepada Islam oleh bekas suaminya Muhammad Riduan Abdullah.
Mufti Perak itu berkata peruntukan mahkamah syariah perlu diluaskan supaya memberi ruang kepada orang bukan Islam hadir ketika perbicaraan, tidak hanya terhad kepada orang Islam sahaja.
“Pindaan itu berupaya mengangkat mahkamah syariah setaraf dengan mahkamah sivil. Mahkamah syariah juga tidak sepatutnya dianggap sebagai satu entiti yang berada di luar institusi kehakiman sekali gus meletakkannya pada kedudukan yang lebih rendah,” katanya dalam kenyataan.