Van keselamatan bawa RM4 juta terbalik selepas dirempuh

Van keselamatan bawa RM4 juta terbalik selepas dirempuh

Hasil pelanggaran itu menyebabkan van berkenaan terbabas lalu merempuh pembahagi jalan sebelum terbalik di tengah jalan raya.

Van-keselamatan-bawa-RM4-juta-terbalik-selepas-dirempuh
KUALA LUMPUR: Sebuah van syarikat keselamatan yang membawa wang tunai RM4 juta terbalik dirempuh oleh kereta jenis Nissan Grand Livina di Jalan Lapangan Terbang Subang ketika menghala ke Puchong hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata dalam kejadian jam 10.35 pagi itu, pemandu van berkenaan tiba-tiba memasuki laluan depan kereta Grand Livina, lalu menyebabkan pemandu kereta itu tidak sempat mengelak dan melanggar van dari belakang.

“Hasil pelanggaran itu menyebabkan van berkenaan terbabas lalu merempuh pembahagi jalan sebelum terbalik di tengah jalan raya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata 2 pengawal keselamatan cedera ringan dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) untuk rawatan manakala pemandu van keselamatan dan wanita yang memandu kereta itu tidak mengalami kecederaan.

Mohd Zani berkata semua wang dalam van keselamatan itu selamat dan dipindahkan ke van lain.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas, Akta Pengangkutan Jalan 166/159 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.