
Quann Malaysia dalam kenyataannya berkata segi empat sama hitam dan putih sering dilihat di laman web, restoran, iklan, basikal sewa dan kedai runcit – bagi membolehkan pengguna cepat mengimbas untuk membuka kunci, atau mendapatkan maklumat berkaitan perniagaan.
“Kini, banyak kes penjenayah melekatkan kod mereka sendiri ke atas perniagaan asal untuk mencuri data atau mengakses telefon pintar pengguna yang melakukan imbasan kod QR untuk memasuki akaun bank mereka,” kata Pengurus Besarnya Ivan Wen.
Quann Malaysia berkata kekurangan pada kod QR ialah mustahil untuk membezakan secara visual antara kod asal daripada pihak lain yang berniat jahat.
Oleh itu, pedagang perlu sentiasa membuat pemeriksaan berkala memastikan kod pihak yang berniat jahat tidak ditampal pada barang dagangan mereka atau dipaparkan di laman web mereka, katanya.
“Walaupun tiada cara jelas untuk membezakan antara kod QR sahih dan palsu, ada beberapa tindakan pencegahan boleh diambil,” katanya.
Pengguna boleh memerhatikan sebarang tanda kerosakan seperti stiker yang ditampal di atas menu bercetak atau risalah, sebelum mengimbas kod QR.
“Lihat dahulu imej dan logo, selain kesilapan ejaan bagi mengenal pasti sebarang kesilapan,” katanya.
Guna pengimbas kod QR yang selamat dan boleh membezakan antara laman web pihak berniat jahat dan menunjukkan URL sebenar sebelum mengimbas kod.
“Jangan masukkan sebarang maklumat peribadi selepas mengimbas kod QR.”
“Berhati-hati apabila mengimbas kod di tempat awam, seperti depot pengangkutan, perhentian bas atau pusat bandar walaupun terdapat poster bercetak,” katanya.