Pengarah IRF kecam cubaan jatuhkan Tariq Ramadan

Pengarah IRF kecam cubaan jatuhkan Tariq Ramadan

Ini susulan siasatan atas tuduhan salah laku seksual ke atas ahli akademik Islam itu yang pernah melancarkan IRF pada 2009.

Ahmad-Farouk-Musa-Tariq-Ramadan-Pengarah-IRF-kecam-cubaan-jatuhkan
KUALA LUMPUR: Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF) Datuk Dr Ahmad Farouk Musa kecewa dengan serangan dan usaha menjatuhkan imej sarjana Islam terkenal Perancis, Tariq Ramadan, susulan siasatan pihak berkuasa negara itu atas tuduhan jenayah seksual.

Dr Farouk berkata ada pihak bergelar “feminis” cuba menasihatinya untuk menjauhkan diri dari Tariq, yang pernah melancarkan IRF di Kuala Lumpur pada 2009.

“Seolah-olah sekumpulan feminis itu terlupa tentang prinsip undang-undang, ‘Tidak bersalah sehingga terbukti bersalah’. Ini sangat jelas, beban bukti terletak pada seseorang yang mengaku, bukan seseorang yang menafikan,” kata pensyarah perubatan itu.

Ramadan dituduh atas perbuatan rogol dan serangan seksual pada Oktober lalu oleh aktivis feminis, Henda Ayari, yang dahulunya seorang Islam Salafi dan kini seorang feminis sekular. Tranformasi Ayari itu diterima baik kumpulan haluan kanan di Perancis.

Ayari pertama kali menuduh Ramadan dalam biografinya yang diterbit pada 2016, “J’ai choisi d’être libre” (“Saya pilih untuk bebas”), tetapi hanya menamakan penyerang itu sebagai “Zubair”.

Menamakan Ramadan pada Oktober tahun lepas, Ayari mendakwa beliau berdiam diri tentang perkara itu sebelum ini kerana “berasa takut”.

Ramadan, 55, kerap menjadi tetamu undangan dalam perdebatan televisyen di Perancis dan sering mengkritik sarjana Islam yang menimbulkan ideologi melampau kerana menafsir teks agama secara literal.

Beliau juga pernah beberapa kali berucap di Malaysia dan mengkritik ahli politik tempatan yang menyeru undang-undang hudud dilaksanakan.

Selain daripada menjadi sasaran kumpulan Salafi di Perancis atas pandangan sederhananya, beliau juga pernah diserang kumpulan haluan kanan di Perancis, yang menuduhnya mempromosi IS.

Dr Farouk berkata beliau menghubungi Ramadan 2 minggu lepas.

Menurutnya, Ramadan “mempunyai musuh yang ramai”.

“Saya dapat rasakan keyakinan dalam suaranya,” katanya.

Dr Farouk turut merujuk kepada kumpulan penyokong Ramadan yang mengeluarkan 15 fakta untuk menggugurkan dakwaan terhadapnya itu.

Jawatankuasa Menyokong Tariq Ramadan baru-baru ini menerbitkan surat terbuka untuk membela ahli akademik itu, mengatakan tuduhan Ayari adalah sebahagian usaha kempen yang sudah diadakan sejak 1990-an untuk menjatuhkannya.

“Tuduhan yang sama adalah sebahagian daripada kempen yang berterusan diadakan untuk menjatuhkannya sejak beliau mula terlibat sebagai seorang intelektual dan aktivis pada awal 1990an.

“Profesor Ramadan dan idea-ideanya sentiasa membuat orang ramai berasa terkesan. Penentang ideologi dan politik beliau tidak mahu berdepan dengannya dalam debat terbuka, tetapi mereka sentiasa menggunakan muslihat untuk mencemarkan nama baiknya sebagai seorang intelektual Islam dan juga menjatuhkan pemikirannya,” tulis surat itu yang meraih lebih 20,000 tandantangan di laman petisyen atas talian, Change.org.

Fasih dalam bahasa Perancis, Inggeris, dan Arab, Ramadan merupakan cucu Hasan al-Banna, pengasas Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Beliau mempunyai ijazah sarjana dalam kesusateraan bahasa Perancis dan ijazah kedoktoran dalam pengajian bahasa Arab dan Islam daripada Universiti Geneva.

Beliau kini mengajar teologi dan agama di Universiti Oxford, dan juga seorang profesor pelawat di Universiti Hamad bin Khalifa di Qatar.

Ramadan dilarang memasuki Tunisia, Mesir, Arab Saudi, Libya, dan Syria atas kritikannya terhadap kerajaan di negara-negara tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.