Kerajaan negeri, FAS masih berunding isu Stadium Shah Alam

Kerajaan negeri, FAS masih berunding isu Stadium Shah Alam

Exco Amirudin Shari berkata kerajaan negeri perlu konsisten dengan keputusan sebelum ini walaupun ada desakan daripada penyokong Selangor.

Wakil Badan Bertindak Penyokong Selangor bertemu Exco Amirudin Shari (tengah) bagi menyerahkan memorandum.
Wakil Badan Bertindak Penyokong Selangor bertemu Exco Amirudin Shari (tengah) bagi menyerahkan memorandum.
SHAH ALAM:
Exco Sukan Selangor berkata kerajaan negeri masih berunding dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bagi menyelesaikan kemelut penggunaan Stadium Shah Alam (SSA) supaya ia boleh digunakan sebagai gelanggang tuan rumah.

Amirudin Shari berkata pihaknya menyedari ada desakan daripada penyokong Selangor tetapi kerajaan negeri perlu konsisten dengan keputusan yang dibuat sebelum ini.

“Mereka faham dan saya faham di antara FAS dengan kerajaan negeri bermasalah dan ada tindakan sebelum ini yang mengundang perbuatan yang tidak baik.

“Jadi ia memberi kesan sangat besar. Kerajaan negeri kena konsisten dengan keputusan kita. Kita masih lagi berbincang untuk menyelesaikan dan membuat kata putus,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa wakil Badan Bertindak Penyokong Selangor hari ini bagi membincangkan isu penggunaan SSA.

Hari ini, 8 wakil Badan Bertindak Penyokong Selangor hadir di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bagi menyerahkan satu memorandum kepada Amirudin.

Memorandum itu mendesak kerajaan negeri membenarkan SSA dijadikan gelanggang rasmi pasukan Selangor selewat-lewatnya dalam saingan pusingan ke-2 Liga Super 2018.

Badan Bertindak Penyokong Selangor juga menuntut FAS dan kerajaan negeri memberi jawapan balas dalam tempoh 48 jam selepas memorandum diserahkan.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata perbincangan dengan wakil Badan Bertindak Penyokong Selangor berlangsung dengan baik.

Beliau berkata, sebarang syarat yang dibuat belum boleh didedahkan kepada umum.

“Kalau ada perubahan, ia harus ada kesefahaman dan tolak ansur antara kedua pihak,” katanya, dan mengingatkan isu ini mungkin tidak boleh diselesaikan dalam tempoh masa pendek.

“Tetapi kata kunci keterbukaan daripada pihak kami dan pihak mereka. Sebagai orang mengelola dan memantau aktiviti sukan, kita nak benda ini diselesaikan dengan suasana menang-menang,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Badan Bertindak Penyokong Selangor, Shah Rafi Ihsham Shah mengesahkan perbincangan dengan kerajaan negeri berlangsung dengan baik.

Namun begitu, pihaknya masih belum mendapat jawapan yang memuaskan daripada kerajaan negeri.

“Apa yang kami diberitahu, kerajaan negeri masih belum memutuskannya. Kita harap Selangor dapat bermain di Stadium Shah Alam pada pusingan ke-2 Liga Super nanti.

“Kita harap perkara ini dapat diselesaikan dengan cara baik antara FAS dengan kerajaan negeri. Kita beri masa jika tiada apa-apa jawapan, kita akan fikir tindakan selanjutnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.