
Baginda berkata punca permasalahan kepada semua isu atau masalah yang wujud adalah kerana sikap sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab, tidak amanah dan tidak berintegriti. Akibatnya, negara boleh hancur, punah dan musnah.
Dua tahun lalu, Perlis mendapat perhatian ekoran penemuan lokasi pemerdagangan manusia di kawasan Wang Kelian di sempadan negeri itu dan Thailand, disahkan mengandungi sebanyak 139 buah kubur besar dan kecil dipercayai milik pendatang asing.
Turut ditemukan di lokasi terletak hanya kira-kira 100 meter dari negara jiran itu adalah penempatan warga asing berpagar kawat duri yang di dalamnya terdiri daripada 28 buah bangsal dan khemah pelbagai saiz.
“Satu lagi contoh yang ingin saya kemukakan untuk renungan kita bersama adalah bagaimana agaknya sekiranya sempadan negara kita dijaga oleh orang-orang yang tidak amanah dan tidak berintegriti?
“Kita mendengar tentang pelbagai angkara akibat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyebabkan sempadan kita dibolosi oleh pelbagai pihak.
“Yang merisaukan kita adalah akibat perbuatan segelintir yang mungkin ‘menutupkan mata’ mereka seketika sewaktu bertugas mungkin kerana telah disogok, boleh menyebabkan pelbagai anasir jahat menyelinap masuk ke dalam negara.
“Tidak kira sama ada orang yang mengambil kesempatan daripada pemerdagangan manusia, pelacuran, dadah, senjata api dan bermacam lagi perkara yang akhirnya menyumbang kepada kemudaratan rakyat jelata,” kata baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berkata apa yang baginda cuba ketengahkan itu adalah permasalahan yang mungkin dilihat sebagai perkara kecil bagi sesetengah pihak tetapi sekiranya setiap rakyat meneliti dengan lebih mendalam akan dapat melihat impak yang besar kepada kesejahteraan, keselamatan dan keharmonian rakyat di negara ini.
“Semua ini sekiranya tidak dibendung dari awal, sudah pasti ia akan menyumbang kepada masalah dan malapetaka yang lebih besar.”
Baginda berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Roadshow INTEGRTI peringkat Perlis di Pusat Koreksional Negeri Perlis.
Program Roadshow Integriti dianjurkan oleh Institut Integriti Malaysia (Integriti) dengan kerjasama Pejabat Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).
Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Integriti, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff, dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KUIPs, Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam.

Sehubungan itu, baginda mahu setiap anggota masyarakat sama-sama kembali kepada ajaran agama masing-masing bagi mencapai melahirkan masyarakat berintegriti dan mensejahterakan rakyat.
“Bagi orang Islam sudah tentu kita perlu menghayati al-Quran dan Sunnah Rasul.
“Tidak kira apa jua agama yang kita anuti, setiap daripada kita perlu memainkan peranan yang menyeluruh untuk menyemai nilai-nilai murni yang ada dalam ajaran agama masing-masing demi melahirkan satu komuniti yang berintegriti, selaras dengan prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara,” titah baginda.
Menurut baginda, hanya dengan kembali berpandu kepada ajaran agama yang sebenar, negara dapat melahirkan insan yang bertakwa dan mengamalkan kebaikan di muka bumi ini.
“Semoga pembudayaan integriti dalam kalangan rakyat akan mensejahterakan kita semua,” kata baginda.
Raja Muda seterusnya berkata, “seperti kata Imam Al-Ghazali yang memperincikan sebahagian akhlak mulia sebagai penyabar, lemah lembut, bersyukur, redha, ikhlas, murah hati, berkata benar, jujur, amanah dan bertanggungjawab.”
“Bagaimanapun Al-Ghazali akhirnya menyimpulkan keindahan akhlak itu adalah iman, dan keburukan akhlak itu adalah sifat munafik.
“Hadis Al-Hakim diriwayatkan oleh Abu Hurairah menjelaskan yang bermaksud, Rasulullah bersabda: ‘Kemuliaan seorang mukmin terletak pada penghayatan agamanya, harga dirinya terletak pada kecerdasan akal fikirannya dan kehormatannya terletak pada kebaikan budi pekertinya’.”
Malah dalam titahnya, baginda berkata, punca kepada semua masalah pada hari ini adalah kerana sikap sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab, tidak amanah dan tidak berintegriti.
“Akibatnya, negara boleh hancur, punah dan musnah.”
Oleh kerana itu titah Raja Muda, baginda amat gembira melihat usaha Integriti yang mula turun ke peringkat akar umbi untuk berkongsi pengalaman dan instrumen yang mereka bina, agar rakyat di negeri seperti Perlis ini juga akan mendapat manfaat daripada usaha untuk membina negara bangsa berintegriti.
“Seperti yang saya katakan sebentar tadi, integriti memainkan peranan yang amat signifikan dalam kesejahteraan komuniti, terutama bagi Malaysia yang mempunyai komuniti pelbagai etnik dan agama.
“Tanpa integriti, bukan sahaja komuniti akan porak peranda dan kacau bilau malahan segagah manapun empayar yang dibina akan tumbang sepertimana
pengajaran yang dizahirkan dalam sejarah empayar Rom, Parsi, Sriwijaya hatta empayar Melaka satu ketika dahulu.
“Justeru itu dalam konteks membudayakan integriti pelbagai institusi dalam negara, saya ingin menyeru agar semua pihak, terutamanya komuniti setempat haruslah turut sama melaksanakan peranan masing-masing dalam menjadikan integriti amalan murni yang sentiasa dipraktikkan dalam kehidupan seharian.”
Sempena program Roadshow Integriti, Integriti dan KUIPs menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membentuk kerjasama dalam bidang-bidang yang berkaitan usaha pemupukan agenda integriti.