‘Kera ke manusia’, Dr M usik logo Visit Malaysia 2020

‘Kera ke manusia’, Dr M usik logo Visit Malaysia 2020

Dr Mahathir yang pernah melancarkan kempen 'Malaysia Truly Asia' ke seluruh dunia tidak yakin logo itu akan diterima baik oleh para pelancong.

 

mahathir
PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad mengusik logo Visit Malaysia 2020 yang dikritik dan dicemuh ramai pengguna media sosial.

Dalam satu video yang dimuatnaik di Facebook hari ini, Dr Mahathir mengkritik kualiti logo tersebut, yang dipertahankan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz Ahad lepas.

“Cantik benar logo untuk Visit Malaysia 2020, tapi gambar dalam tu nampak macam kera ke, manusia ke?” katanya.

Beliau juga tidak yakin logo itu akan diterima baik oleh para pelancong, selepas menteri berkata logo itu mendapat pujian semasa pelancarannya di Chiang Mai, Thailand.

“Saya fikir mereka akan berasa pelik. Mungkin dengan berasa pelik itu akan menarik mereka,” kata Dr Mahathir, yang pernah melancarkan kempen “Malaysia Truly Asia” ke seluruh dunia pada 1999.

Logo yang memaparkan tulisan “Visit Malaysia 2020″ berlatarkan bayangan Menara Berkembar KLCC, seekor orang utan memeluk monyet belanda dan seekor penyu berkaca mata hitam menjadi sasaran kritikan orang ramai selepas ia diumumkan pada 26 Januari lepas di forum pelancongan Asean di Chiang Mai.

Warga internet kemudian berlumba-lumba membuat rekaan logo dan poster tersendiri untuk mengatasi rekaan yang disifatkan sebagai memalukan.

Nazri Aziz bagaimanapun menganggap kritikan orang ramai terhadap logo baharu itu perkara biasa.

“Kritikan ini biasa. Saya lancarkan di Chiang Mai dan di Chiang Mai semua puji, sememangnya logo ini untuk pelancong asing. Ini bukan untuk dalam negeri, saya tidak kisah dan peduli.

“Di Chiang Mai, kita dapat sambutan sebab mereka tidak pernah tengok (logo). Lainlah orang Malaysia, sudah biasa tengok. Saya tidak ada niat hendak tukar,” katanya.

 

Logo Visit Malaysia 2020: Saya tak peduli, kata Nazri

Visit Malaysia 2020 logo panned as a ‘joke’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.