Kebakaran tahfiz: 2 remaja berdepan 23 dakwaan bunuh

Kebakaran tahfiz: 2 remaja berdepan 23 dakwaan bunuh

Kebakaran itu pada September lalu itu mengorbankan 21 pelajar dan 2 guru sekolah Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat.

kebakaran-tahfiz-darul
KUALA LUMPUR: Dua remaja lelaki didakwa di Mahkamah Tinggi hari ini atas 23 pertuduhan membunuh dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, September tahun lalu.

Dua remaja berseluar dan berbaju putih itu kelihatan tenang apabila tuduhan dibacakan di depan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Timbalan Pendakwa Raya, Othman Abdullah dan Norakmal Farhan Aziz sebelum ini membuat bantahan awal terhadap firma guaman Gobind Singh Deo & Co yang mewakili 2 remaja lelaki berusia 17 tahun itu.

Norakmal berkata, firma itu sebelum ini mewakili 2 remaja lain yang terlibat dalam kebakaran tahfiz tersebut, dalam kes dadah di Mahkamah Majistret.

“Kedua-dua remaja itu adalah saksi berpotensi dalam perbicaraan. Firma itu akan mendapat akses kepada keterangan mereka dalam kes tersebut,” katanya.

Peguam, Michelle Ng yang mewakili remaja terbabit bagi pihak firma guaman itu berkata, beliau perlu mendapatkan arahan lanjut daripada pegawai atasan dan ibu bapa remaja tersebut.

Azman menetapkan 19 Februari ini untuk sebutan semula kes bekanaan.

Beliau memberi amaran kepada wartawan agar tidak mendedahkan identiti dan latar belakang remaja terbabit.

“Ia satu kesalahan di bawah Akta Kanak-kanak untuk menyiarkan nama kanak-kanak yang didakwa terlibat dalam jenayah,” katanya.

Dua remaja itu berdepan 23 pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret tahun lalu berhubung kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 14 September 2017.

Pihak berkuasa mendakwa kebakaran itu berpunca daripada perbuatan khianat dan menyebabkan 21 pelajar serta 2 guru sekolah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur itu terbunuh.

Tujuh suspek dilaporkan ditahan pada 15 September lalu bagi membantu siasatan polis, tetapi Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, bukan semua yang terlibat secara langsung dalam kebakaran itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, hanya 2 daripada 7 remaja itu akan didakwa dengan pertuduhan membunuh.

2 remaja didakwa bunuh 23 pelajar, guru tahfiz di Keramat

7 remaja ditahan bakar sekolah tahfiz di Keramat kerana diejek

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.