
Muhamad Nasir Razak, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut pertuduhan, Muhamad Nasir diamanahkan dengan penguasaan terhadap peruntukan Baja Sebatian, NPK Tambahan dan Urea sebanyak 56,700 beg berjumlah lebih RM2.54 juta melalui Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan, melakukan pecah amanah terhadap peruntukan itu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Merlimau beralamat di KM24, Jalan Jasin, Merlimau, Jasin antara 31 Januari hingga 31 Disember 2016.
Dia dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwanshah Abdul Samad menawarkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, Muhamad Nasir memohon kepada mahkamah jumlah jaminan yang rendah kerana menanggung isterinya yang tidak bekerja dan 2 anak masing-masing berumur 11 dan 6 tahun.
Meor Sulaiman kemudian menetapkan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh melapor diri ke pejabat SPRM Melaka pada hari Sabtu pertama setiap bulan sehingga kes itu selesai.
Hakim kemudian menetapkan 6 Mac ini untuk sebutan semula kes.
Tertuduh tidak diwakili peguam.