oBike, polis, bekerjasama tangani vandalisme

oBike, polis, bekerjasama tangani vandalisme

Syarikat itu mengambil langkah termasuk bekerjasama rapat dengan pihak polis untuk mengatasi ancaman daripada mereka yang tidak tahu menghargai perkhidmatan ini.

obike
KUALA LUMPUR: Dicampak ke dalam longkang, digantung di atas pokok, tiada pedal, brek atau tayar dan ditinggalkan di laluan pejalan kaki.

Ini antara nasib yang diterima basikal oBike, perkhidmatan perkongsian sewa basikal tanpa stesen yang pertama di Malaysia.

Dengan meningkatnya kes vandalisme melibatkan basikal oBike, Pengurus Pemasarannya Elaine Chan berkata syarikat itu mengambil beberapa langkah termasuk bekerjasama rapat dengan pihak polis untuk mengatasi ancaman daripada mereka yang tidak tahu menghargai perkhidmatan ini.

“Kami sering mendapatkan nasihat polis untuk mengatasi isu ini. Bukan hanya polis, malah pihak berkuasa tempatan, hotel dan agensi pengangkutan juga membantu kami dengan menyalurkan maklumat mengenai vandalisme yang boleh digunakan sebagai bukti membuat laporan polis,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Chan berkata oBike juga meningkatkan ciri keselamatan pada basikalnya seperti memasang tempat duduk yang tidak boleh ditanggalkan, menaik taraf kunci pintar dan aplikasi yang mana penunggang akan dimaklumkan sebaik sahaja menunggang di luar zon ditetapkan.

Beliau memberi amaran, mereka yang ditangkap kerana merosakkan basikal oBike boleh didakwa di mahkamah bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 5 tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Chan berkata kebanyakan kes vandalisme ke atas basikal syarikat itu dilakukan oleh bukan pelanggan dan ada yang mencuri, membawa pulang basikal itu ke rumah.

Ada juga dalam kalangan pelanggan yang meletakkan basikal di tempat tidak sepatutnya seperti di kawasan persendirian dan mereka yang melakukannya boleh dianggap sebagai mencuri dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Setiap penunggang oBike boleh mendapatkan 100 mata kredit apabila mendaftar dan jika meletakkan basikal dengan betul, mereka akan dikenakan sewa 50 sen sejam.

Ada pengguna yang meletakkan basikal bukan di kawasan parkir ditetapkan, dan dengan berbuat demikian 20 mata kredit oBike mereka akan dipotong dan caj tinggi akan dikenakan, katanya sambil menasihatkan pengguna supaya lebih bertanggungjawab semasa menunggang basikal oBike.

Ditanya mengenai nilai kerugian ditanggung oBike angkara vandalisme, Chan berkata ia masih mampu “diuruskan” dan enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Vandalisme bukannya eksklusif kepada mana-mana golongan masyarakat kerana ia sebahagian tingkah laku manusia apa yang penting ialah bekerjasama untuk mengurangkan kadar vandalisme.

Tambahan pula, oBike dilancarkan dengan matlamat menjadikan perkongsian basikal sebagai pengangkutan awam untuk dinikmati rakyat Malaysia dan sekiranya vandalisme masih berterusan dan semakin meningkat, ia akan memberi kesan kepada sistem dan pengguna yang mendapat manfaat daripada perkhidmatan ini, kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.