Kes Indira: Peguam Islam desak pinda akta Mahkamah Syariah, sivil sama taraf

Kes Indira: Peguam Islam desak pinda akta Mahkamah Syariah, sivil sama taraf

Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia juga mahu undang-undang memeluk Islam dikaji semula supaya kanak-kanak tidak perlu mengucapkan syahadah, cukup sekadar ibu bapanya beragama Islam.

indira-ppmm
PETALING JAYA:
Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia yang kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengetepikan penukaran agama sebelah pihak membabitkan 3 anak M Indira Gandhi, mendesak semua kerajaan negeri meminda undang-undang tubuh negeri supaya Mahkamah Syariah sama taraf dengan mahkamah sivil.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar memberi contoh penubuhan Mahkamah Syariah di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu.

“Saya juga mendesak semua undang-undang yang mengehadkan Mahkamah Syariah hanya terhad kepada orang Islam sahaja dipinda dengan memberi kelonggaran kepada orang bukan Islam hadir sebagai pihak di Mahkamah Syariah.

“Dengan cara ini, orang bukan Islam juga boleh mendapat keadilan di Mahkamah Syariah,” katanya kepada FMT.

Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan penukaran agama sebelah pihak ke atas 3 anak Indira, selepas memutuskan sebarang penukaran agama kanak-kanak bukan Islam perlu mendapat persetujuan kedua ibu bapa, bukan hanya salah seorang daripadanya.

Menerusi keputusan bersejarah itu, mahkamah turut memerintahkan mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes penukaran agama sebelah pihak.

Keputusan hari ini mengakhiri pertarungan 9 tahun hak penjagaan anak antara agama, susulan tindakan bekas suami Indira yang memeluk Islam, Muhammad Riduan Abdullah menukar agama 3 anaknya tanpa pengetahuan guru tadika itu pada 2009.

Mengulas lanjut, Zainul juga mahu undang-undang memeluk Islam dikaji semula, khususnya bagi kanak-kanak.

“Kanak-kanak yang tidak boleh bertutur lagi umpamanya, tidaklah perlu mengucapkan syahadah bagi pemelukan Islam, cukuplah sekadar ibu bapanya beragama Islam.”

Beliau juga bimbang kerajaan akan menjadikan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini sebagai alasan untuk memperkenalkan pindaan Seksyen 88A Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 yang ditolak umat Islam.

“Umat Islam perlu menunjukkan kesatuan bagi menolak sebarang usaha memperkenalkan semula Seksyen 88A tersebut.”

Katanya, keputusan hari ini jelas mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu dalam kes Subahsini dan Saravanan.

“Menyedihkan kerana ia menyediakan ‘precedent’ yang aneh dalam isu ini, di mana Mahkamah Persekutuan meminggirkan keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu di dalam kes Subahsini melawan Saravanan.

“Walaupun memang terjadi Mahkamah Persekutuan tidak mengikut prinsip mahkamah sama sebelum ini kerana ia tidak mengikat, tetapi di dalam kes kepentingan awam seperti ini seharusnya mahkamah konsisten dengan keputusan mereka.

“Sebagai seorang warganegara, kita perlu menerima keputusan ini kerana ia dibuat mahkamah yang kompeten. Masyarakat Islam perlu menunggu kes lain untuk berhujah semula bagi mengetepikan penghakiman ini.”

Ketua polis tiada alasan lagi, kata Indira merayu mahu mendakap anak

Mahkamah putuskan penukaran agama anak Indira tak sah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.